Sunday, 2 October 2016

HARNANI (6)

'Turun makan. Semua orang dah makan, Nani je belum.'

Pesanan Whatsappnya kubaca lalu kututup semula. Aku sudah kenyang, cukup kenyang makan hati sendiri. Larian jari di atas papan kekunci laptop laju menghentak. Bait-bait aksara aku atur elok. Sebaik mungkin aku susun ayat-ayat.

Samsung Grand Prime berbunyi lagi. Aku baca.

'Turun, sebelum abang yang naik.'

Kali ini pesanannya berbaur ugutan.

***

Ruang tamu hiruk dengan gelak tawa saudara mara yang masih belum pulang. Abang Izmeth turut ada sama.

Akhirnya aku turun juga. Ugutan Abang Izmeth tadi tidak boleh aku ambil ringan kerana sebelum ini dia belum pernah memberi pesanan berbaur ugutan begitu.

Langkah kaki aku bawa ke pintu dapur senyap-senyap agar tiada yang perasan. Gazebo emak aku tuju lantaran aku memang tiada selera mahu menjamah makanan. Di situ jualah selalunya aku menyendiri dahulu apabila Ruhil dimenangkan oleh emak dan arwah abah walau nyata Ruhil yang salah.

Pekat malam, dan langit yang dihiasi bintang-bintang sedikit meredakan gejolak perasaan aku. Dingin angin menyejukkan rasa. Allah, tenangkan aku.

Mata aku pejam seketika. Dan apabila aku membuka mata, Abang Izmeth tegak berdiri di hadapan aku membuatkan aku terkesima.

“Taknak makan?” soalnya sambil duduk di sebelah aku. Berdebar hati ini. Setelah ditampar olehnya hari itu, ini kali pertama aku mendengar suara Abang Izmeth semula. Boleh tahan lama, hampir dua bulan jugalah. Aku menggeleng sebagai jawapan.

“Tak lapar?” Aku geleng lagi. Untuk seketika, kami senyap. Sebelum Abang Izmeth bersuara semula.

“Jangan ambil hati dengan apa yang emak cakap siang tadi.” pesanannya membuat aku tersenyum.

“27 tahun Nani hidup dengan mak. Setiap hari mak mesti akan cakap perkara-perkara macam tu. Nani dah tak kisah. Dah immune.”

Senyap lagi.

“Ada aja yang tak kena dengan Nani. Kakak pula mesti betul tiap masa. Kalau Nani gaduh dengan kakak, sama ada salah Nani atau salah kakak, yang akan kena marah tetap Nani. Yelah, siapalah Nani ni. Tapi apa yang mak cakap siang tadi buat Nani bersyukur sangat. Akhirnya Nani tahu jugak yang selama ni mak bukanlah sayang Nani pun. Agaknya mak terpaksa nak jaga Nani kan. Teruknya Nani.” Untuk seketika, aku terdiam. Kemudian aku tertawa. Air mata yang mengalir setitis dua aku lap bagi kering.

“Kenapalah Nani ceritakan dekat abang? Nani tak patut cerita pada sesiapa pun. Sorry.” aku ingin bangun, tetapi Abang Izmeth menarik aku ke dalam dakapannya.

Terkejut? Ya!

“Abang nak dengar. Ceritakan pada abang.” Dua baris ayatnya. Membuat aku benar-benar terharu.

Pada malam itu, aku hamburkan segala yang kusimpan lama kepada Abang Izmeth. Dia satu-satunya manusia yang tahu semua yang tersirat di hati. Terharu.

Rupanya ada yang mahu mendengar masalah aku, selain Tuhan yang satu.

No comments:

Post a Comment