"Ini bukan drama Melayu kahwin paksa, adik. Ini tentang adik, ada hati perut atau tak untuk berkorban?" Suara emak kedengaran lagi, memecah kesunyian yang tercipta seketika. Aku melepaskan helaan nafas nipis. Biar yang terbuku di dada, masih seempangan terbina.
Karpet di lantai, aku kuis-kuis. Dari tadi kepalaku tetap tekur menenung karpet kuning hitam. "Adik boleh jaga budak-budak tu, mak. Tak payah kahwin dengan Abang Izmeth pun, adik boleh jaga!" Bentakku, entah untuk yang ke berapa kali. Rancangan gila emak untuk menyatukan aku dengan Abang Izmeth betul-betul membebankan. Disokong pula oleh abang, Husni.
"Benda selesai kalau adik bagi kerjasama, dan tak rumitkan cerita. Tu je." Usul Husni pula. Wajahnya aku pandang dengan pandangan mengharapkan pengertian.
Baru sahaja ingin aku bersuara, emak membuka mulut, "Adik tengoklah cucu-cucu mak tu kesian sangat. Ada ibu, ibu lari." Emak membuat suara kasihan. Tahu sangat emak bagaimana cara mahu meraih simpati aku.
"Kadang-kadang bila kita rela untuk berkorban, pasti Allah kirimkan sesuatu yang lebih bermakna untuk kita." Husni. Mengasak fikiran aku.
Aku menarik nafas dalam lalu menghelakan panjang. "Bagi adik masa. Adik kena fikir." Aku bangkit, mahu keluar dari ruangan ini.
"Masa dah suntuk. Adik nak fikir apa? Izmeth sibuk dengan kerja. Anak-anak terbiar. Kalau terjadi apa-apa dekat budak-budak tu, siapa nak tanggung? Adik? Adik nak masa lagi? Masih nak fikir?" Gesa Husni, seolah langsung tidak faham apa yang kurasa dalam hati.
Pengorbanan yang manusia-manusia ini persoalkan. Pengorbanan dari seorang aku, yang tidak tahu menahu. Pengorbanan yang patutnya diberi oleh sang kakak yang lari tinggalkan anak-anak dan suami.
Tentang hak? Hak aku? Memilih jalan hidup sendiri? Juta kali aku sua ke emak dan Husni, sepi pun tidak dipandang apatah lagi dihirau. Apa lagi? Perihal kerelaan? Aku tidak rela? Dari awal emak dan Husni tahu aku tidak rela, tetapi masih disogokkan aku isu pengorbanan!
Pilihan apa lagi yang aku ada? Melarikan diri? Tidak! Aku tidak sedurjana kakak yang lari dari tanggungjawab. Tanggungjawab? Adakah tanggungjawab ini milik aku? Atau, bakal menjadi milikku?
Lalu, "adik setuju."
Emak pantas mendongak memandangku. Terus tubuhku dirangkul sambil mulutnya tidak henti mengucapkan kata syukur.
"That's it." Husni senyum meleret.
No comments:
Post a Comment