Sunday, 2 October 2016

HARNANI (5)

Di rumah emak, langsung aku tidak bersuara. Aku cuba bergaul tetapi nampaknya aku seperti tidak terkesan oleh pandangan mereka. Ingin tampil, pasti ada yang mencelah. Lalu aku mengambil keputusan untuk duduk di gazebo emak.

Biarlah. Lagipun sambutan hari lahir Iskandar cukup hebat, mungkin sebab itu aku tidak diperlukan.

“Sabarlah, Nani.” Pesan aku pada diri sendiri.

Smartphone aku keluarkan dari kocek dan jari mula menaip sesuatu.

'Nani keluar kejap. Jalan-jalan dalam taman ni ja.'

Sent. Dan seketika, bluetick. Menandakan Abang Izmeth telah baca. Namun tidak berbalas.

“Okay. Nani pergi kejap.” Ujarku sambil memandang ke arah rumah, seolah sedang bercakap dengan Abang Izmeth. Aku senyum dan mula melangkah.

***

“Mana Nani?” soal emak. Masing-masing mengangkat bahu kemudian meneruskan aktiviti mereka.

“Izmeth?” Emak memandang Abang Izmeth pula.

“Dia keluar kejap, mak. Dia ada bagitahu Izmeth tadi.” Jawab Abang Izmeth. Emak menggelengkan kepala dan mengeluh.

“Dia buat jugak perangai kera sumbang dia tu. Apa salahnya join sekali sambut birthday Iskandar ni. Bukannya orang lain, anak dia jugak.” bebel emak.

“Bilalah dia nak berubah. Mak ingat lepas kahwin dia akan berubah, masih tetap dengan keras kepala dia ya. Nasib baiklah emak tak sayangkan si Nani tu lebih-lebih. Kalau tak, kecewa hati mak ni.” emak menyambung lagi dengan telunjuk diletakkan di dada. Aku yang ketika itu baru hendak melangkah masuk, sedikit tersentak. Tergamak emak. Hati yang bertambah terluka cuba aku tenangkan. Lalu aku melangkah masuk ke dalam rumah.

“Assalamualaikum.”

Semua mata tertoleh ke arah aku. Kecuali Abang Izmeth, leka melayan Zulkarnain.

“Hah ada pun. Adik boleh tak belajar reda? Terima kenyataan yang adik ni dah berkahwin dengan Izmeth? Susah sangat ke? Besar sangat ke pengorbanan yang adik buat untuk kakak sampai rumit sangat untuk adik terima? Hah?” soal emak bertalu-talu. Menyiat rakus hati aku. Wajah aku mula berasa panas. Mata berair. Bibir bergetar-getar mahu menjawab. Namun hati keras melarang. Risau andai hati yang sedang belajar reda kembali keras membatu.

“Nani minta maaf.” itu sahaja.

Coklat cadbury hazelnut kegemaran Iskandar yang aku beli sebentar tadi aku letakkan atas meja yang berdekatan. Dan aku terus melangkah mendaki anak tangga menuju ke kamar sendiri.

Nani, sabarlah. Pesanan yang sama, sekali lagi. 

No comments:

Post a Comment