Sunday, 2 October 2016

HARNANI (11)

Empat hari aku membawa diri. Makan pakai Iskandar dan Zulkarnain biarlah papanya yang uruskan. Aku betul-betul perlukan ruang untuk berfikir. Tetapi hari ini, aku pulang semula. Aku tekad untuk terima apa sahaja keputusan Abang Izmeth. Sama ada untuk terus simpan aku, atau ceraikan aku.

Kepulangan aku disambut oleh pelukan dua beradik yang aku rindu. Yang aku sayang.

“Ibu pergi mana? Kita orang rindukan ibu.” ujar Zulkarnain sebaik pelukan terlerai.

“Ya ke? Alahai, ibu minta maaf ya. Ibu ada kerja sikit hari tu.” kepalanya aku usap lembut.

“Zul nangis waktu ibu tak ada. Dia ingat ibu akan tinggalkan kami.” suram sahaja suara Iskandar.

“Macam mama.” sambungnya perlahan. Aku tarik semula mereka ke dalam pelukan. Serba salah menerpa hati. Ya Allah. Andai Abang Izmeth ceraikan aku, mampukah aku berjauhan dengan anak-anak ini?

***

Aku, Iskandar dan Zulkarnain duduk di meja makan menunggu Abang Izmeth yang masih belum pulang. Juadah-juadah telah kuhidang di atas meja makan.

Malam ini, kami akan menikmati makan malam bersama, seperti malam-malam sebelum pulangnya Ruhil semula. Aku ingin memanfaatkan masa-masa terakhir yang mungkin aku ada. Selepas ini, agaknya aku akan makan malam sendiri. Dan anak-anak ini akan makan malam bersama mama mereka semula.

“Ibu.”

Aku tersedar.

“Ya?” wajah Iskandar aku pandang. Raut wajahnya yang nampak sedih menggoncang naluri keibuan aku.

“Ibu akan tinggalkan kami ke?” soalnya. Aku menunduk.

Ibu tak tahu, sayang. Jawapannya ada pada papa.

“Abang kecewa kalau ibu pun tinggalkan kami.”

“Kalau abang perlu pilih antara ibu atau mama, abang akan pilih...”

“Assalamualaikum."
Wajah Abang Izmeth terpacak di pintu dapur, semerta menghentikan bicara Iskandar. Pandangannya fokus pada aku. Ketara gamam pada wajahnya.

“Waalaikumusalam.” tangannya aku capai, aku salam, aku cium.

“Nani...”

“Wah sedapnya bau! Siapa yang masak, bang?” suara perempuan kedengaran. Seketika kemudian, muncul Ruhil dari belakang Abang Izmeth.

No comments:

Post a Comment