“Kau buat apa kat sini?” tanya Ruhil keras. Sedikit gerun aku melihat wajahnya yang ketat dan ganas.
“Is? Zul? Apa dia buat kat sini?” wajah anak-anak Ruhil pandang rakus.
“Nani... Nani datang lawat budak-budak ni.” jawabku gugup. Rasa yang berbaur aku pendam kemas. Abang Izmeth masih diam. Tidak bolehkah dia bersuara mengatakan bahawa aku isterinya?
“Atau kau nak menyundal dengan laki aku?!” Suaranya meninggi membuatkan Abang Izmeth berpaling menghadapnya.
“Ruhil, sabar.”
Aku kalut melihat Ruhil yang galak memandang aku dan bercampur kecewa melihat tingkah Abang Izmeth.
“Nani rindukan Iskandar dan Zulkarnain. Jadi Nani datang lawat dan masakkan sikit untuk mereka. Nani pun nak balik dah. Akak makanlah sekali. Nani balik dulu.” ujarku pantas dan mula ingin berlalu.
Rancangan awal aku untuk mengetahui keputusan Abang Izmeth biarlah tergantung dahulu. Situasi ini begitu menyesakkan.
“Ibu, makan sekali dengan kami.” seru Iskandar. Mematikan langkahku.
“Can you stop calling her ‘ibu’! I’m your mom. Bukan dia!” Ruhil menengking pula. Aku sendiri terangkat bahu mendengar tengkingannya.
“Sebab dia bukan maksu, tapi dia ibu Is. Kalau mama betul mama Is, mana mama pergi dulu? Mama tinggalkan Is! Mama tinggalkan Zul! Mama tinggalkan papa. Tu. Ibu tu yang jaga kita orang. Mama pergi mana?” jarinya dituding ke arah aku. Mata yang berair Iskandar kesat. Berani mati. Sungguh Iskandar berani mati.
Ruhil nampak tergamam. Dadanya berombak kencang.
“Iskandar!” Abang Izmeth mula bersuara, menandakan dia benar marah dengan Iskandar.
“Jaga mulut, Is.”
“Cukup. Jangan disebabkan Nani korang bergaduh.”
Ruhil menyentap rambutku kuat. Aku terjerit kecil. Sakit terasa hingga ke kulit kepala.
“Engkau memang menyusahkan aku! Dari kecil lagi semua orang memang tak sukakan kau!” diganyang-ganyang kepala aku. Sakit. Tetapi hati lebih sakit.
“Ruhil! Bawa bertenang!” Abang Izmeth memeluk Ruhil, menghentikan tindakan gilanya. Manakala Iskandar dan Zulkarnain meluru ke arah aku. Zulkarnain sudah menangis nangis. Pasti dia takut melihat mamanya sebegitu.
“Duduk dulu. Tenangkan diri.” Ruhil dijauhkan dari aku. Anak-anak masih memelukku erat.
“Ib... Mak.. Maksu nak balik. Maksu pergi dulu, sayang.” ubun-ubun kedua-duanya kukucup kasih. Mana tahu itu kucupan terakhir. Dengan pantas aku berlari ke arah pintu utama. Setibanya di pintu utama, lenganku ditarik kuat.
“I’m sorry but we need to talk.” Aku mengesat air mata. Sedu sedan menghalang aku dari bersuara.
“Jangan menangis, Nani. Nani buat abang serba salah.” ujar Abang Izmeth. Kata-katanya menghiris luka lebih lebar. Aku membuatnya serba salah...
No comments:
Post a Comment