Lelaki itu muncul lagi. Mungkin mahu menuntut duit repair keretanya yang Karel langgar hari itu. Harapnya cuma mahu menuntut duit itu sahaja dan tiada niat mahu bicarakan tentang hal semalam.
"Berapa?" Soal Karel namun wajah Yasir tidak dipandang langsung. Report pesakit ditulis laju. Tulisan cakar ayam tidak dipeduli. Nanti nak serah report pada rakan shift seterusnya, nasib-nasiblah kalau mereka tak faham tulisannya itu.
"Apa yang berapa?"
"Duit repair kereta awak. Cepat. Saya ada kerja lagi ni."
"Oh. Saya tak datang untuk duit tu."
"Habis? Nak cakap pasal apa? Kalau sakit, pergi klinik dulu baru admit masuk wad." Report pesakit hampir siap. Harnani sudah jeling-jeling. Terpikat agaknya dengan adik isteri kedua suaminya ini.
"Saya nak cakap pasal semalam." Serentak itu pen di tangan Karel terlepas. Tepat-tepat pada waktu dia selesai menulis report.
"Saya tak ada apa nak cakap." Karel beredar dari kaunter pertanyaan wad, menuju ke lorong bilik pesakit. Yasir mengekor.
"Saya nak minta maaf."
"No need to. Bukan hal awak." Langkahnya tetap laju.
"Saya rasa bersalah. Kakak saya bersalah." Kaki Karel terhenti. Badannya berpaling laju menghadap Yasir.
"Jadi? Awak nak saya report polis ke sebab kakak awak rampas laki saya?"
"Bukan macam tu. Karel, saya tak tahu nak cakap apa. Cuma saya nak minta maaf sahaja. Saya rasa tak sedap hati tengok awak macam ni dan puncanya adalah kakak saya sendiri."
"Oh..." Karel anggukkan kepalanya bersama senyuman-tidak-percaya di bibir.
"So does that means I gained your empathy now? I don't need any. Sekarang ni awak balik je. Tak perlu tunjuk prihatin atau rasa bersalah. Sebab awak tak terlibat pun dalam hal ni. Saya masih bernafas, dan saya okay." Karel berpaling semula, meneruskan langkah ke bilik 305.
"Kenapa ha perempuan ni complicated sangat?!" Tanya Yasir separa menjerit. Untuk sekali lagi, tingkah Karel terhenti.
"Luahkan je apa yang ada dalam hati tu. We men don't usually understand what you girls feel. Berterus terang, that will really help. Kalau diam je macam ni, pendam sorang-sorang, besar kemungkinan awak boleh hilang suami awak." Bebelnya panjang lebar. Kalau dilihat betul-betul, dia memang menyebelahi Karel. Kerana dari awal lagi dia tidak suka dengan perkahwinan kakaknya. Dia tidak suka Yuna jadi perampas.
"Saya dah hilang Tuah dari awal dia kahwin dengan kakak awak." Tombol pintu bilik 305 dipulas lalu dia bolosi bilik itu secepat mungkin. Sekarang ini waktu kerjanya, bukan waktu untuk dia fikirkan masalah peribadi. Lama dia melayan pesakit di dalam bilik itu. Dibualkan apa-apa yang terlintas di fikirannya dek tidak mahu berhadapan lagi dengan Yasir.
Sejam juga dia berkurung dalam bilik 305 itu. Dengan teragak-agak dia pulas tombol dan sebaik pintu terbuka, Yasir masih setia bersandar di dinding tepi bilik 305.
"Kalau tak sudi terima empati saya, sekurangnya dengarlah penjelasan saya dulu. Saya tahu apa yang Tuah salah faham. Awak tak nak tahu ke?" Yasir bijak lempar umpan. Pasti terpancing juga ni, telahnya yakin.
"Saya tengah kerja."
"Tak apa, saya boleh tunggu." Yasir menukar posisi, berdiri tegak. Tinggi melebihi Karel yang rendah.
"Tang mana lagi yang awak tak faham eh, Encik Yasir?"
"Saya tak faham awak. Awak rela ke Yuna conquere Tuah sepenuhnya?"
"Masya-Allah. You are really something. Apa yang awak terdesak sangat nak saya tahu?" Kedua-dua tangan diseluk masuk ke poket baju uniform. Sabarnya makin menipis diasak oleh Yasir.
"Talk here?"
"Then where?!" Suara Karel makin meninggi. Yasir sengih menayang gigi.
"Alright, sini je. Okay sebenarnya, semalam saya datang rumah awak. Untuk minta ganti rugi repair kereta saya dan sejujurnya, saya nak tahu keadaan awak. Tapi Tuah salah faham, dia fikir..."
/
"Lamanya tak datang lawat kakak?" Yasir sengih sahaja mendengar soalan kakaknya. Belakangan ini dia sibuk membuat overtime (OT) di kilangnya memandangkan kalau duduk di rumah pun, dia sekadar melepak tidak berbuat apa. Jadi, dari membuang masa baik lagi jika dia manfaatkan masa yang ada. Penat itu penatlah, asalkan duit masuk. Itu lebih memuaskan.
"Tak nak ganggu orang tengah hangat bercinta." Jawabnya berlelucon seraya melirik ke arah abang iparnya. Tuah dari tadi tidak bersuara apa-apa waima menyambut kehadirannya. Mungkin masih marah tentang kejadian tempoh hari. Tentang dia mahu menyuap Karel daging salai di kafe hospital itu.
Tahu pulak cemburu, tapi masih curang. Hatinya merungut geram.
"Apa pulak hangatnya? Padahal awak tu yang sibuk dengan life awak aje." Omel Yuna. Yasir ketawa sahaja.
"Sebenarnya Yasir datang nak tahu keadaan Karel." Ujarnya berterus terang. Melawat kakaknya itu perkara kedua. Yang pertamanya, dia mahu tahu keadaan Karel. Bukan apa, simpatinya meluah-luah untuk perempuan itu.
Automatik pandangan Tuah menikam wajah Yasir. Ada api kemarahan dalam matanya.
"Kenapa dengan bini aku?" Soal Tuah dingin.
"Dia kan accident kelmarin. Itu yang aku datang nak tengok dia. Lagi pun, aku nak.."
"Nak apa lagi?! Nak bini aku tu?!" Tuah bingkas berdiri dengan mata yang masih garang memandang Yasir. Yasir sedikit terkejut tetapi dia bijak mengawal emosinya. Lantas dia ketawa kecil.
"Mana kau tahu Karel accident? Dia bagitahu kau? Jadi maknanya korang memang selalu contact lah? Hah? Kau tahu ke tak dia tu isteri aku?!"
Yuna kalut melihat Tuah begitu. "Abang... jangan menuduh bukan-bukan. Dengar dulu Yasir nak cakap apa."
"Dekat hospital hari tu kau main suap-suap dengan dia. Belakang aku entah apa lagi yang korang buat?!"
/
"By that time, awak sampai. Dan apa yang terjadi malam tu, itu adalah kronologi dari salah faham Tuah. In fact I came there just to know your condition."
Karel gamam. Tersandar di dinding. Tidak sangka yang Tuah sanggup fikir yang dia akan menduakan Tuah seperti apa yang Tuah lakukan padanya.
"Saya bukan isteri macam itu." Bisiknya perlahan tetapi cukup untuk Yasir dengari.
"Kalau kau dah tak suka dekat aku, cakap je. Aku pun tak teringin nak jadi suami kepada isteri nusyuz macam kau."
"Curang belakang aku."
"Buat apa kau balik lagi?"
"Pergilah, Karel. Aku tak nak tengok muka kau."
Satu, satu. Setiapnya terngiang-ngiang di telinganya. Dan setiap satu itu menghiris luka baru di hatinya.
Am I that low in your eyes, abang?
Air matanya mengalir lagi. Yasir yang memerhati tidak dipedulikan sama sekali. Sebegitu rendah dia di mata suaminya sendiri? Memikirkan itu, tangisannya kian lebat.
/
"Aku tahu kau marah aku, bang. Tapi kau tak nak kecewakan Yuna sebab maki hamun aku, kau marahkan pulak Karel. Padahal kau tahu dia tak salah. Kan?"
"Kau tak boleh macam ni, bang. Karel tu bini kau. Sebelum kau jumpa Yuna, bini kau tu lah yang jaga makan pakai kau. Jaga sihat sakit kau. Bila kau dapat Yuna, lagi-lagi Yuna dah mengandung... terus kau ketepikan dia. Kau lupa ke segala bahagia yang Karel dah bagi? Aku tahu kau tak kejam macam ni, bang. Kesian dia."
"Yang kau bela sangat dia kenapa? Kau suka dia? Kau nak dia?"
"Mesti kau tak tahu sesuatu kan?" Yasir ukir senyum tipis. Teringat semula kisah dua tahun lalu.
"Apa?"
"Dua tahun lepas, aku pernah accident. Kena langgar lori tapi nasib baiklah aku tak mati. Sebab apa, kau tahu, bang? Sebab Karel lah. Allah utuskan Karel untuk selamatkan aku waktu tu. Punyalah baik Karel, tetap tak mampu tawan hati kau kan?" Yasir diam sejenak. Menelan liur lalu menyambung 'tazkirahnya'.
"Aku suka dia. Sebab dia baik. Setahun jugak aku perhati dia tanpa dia sedar, dan aku dapat tahu dia dah kahwin. And for the sake of her happiness, I stop doing that stalking thing. Aku nak dia bahagia, dan aku tak nak aku pulak menderita. Tup-tup, setahun lepasnya, Yuna pulak decide nak kahwin dengan kau. Entah macam mana korang berdua kenal pun aku tak tahu. Aku tak pernah setuju dengan perkahwinan korang ni. Sebab aku tahu akan ada hati yang terluka."
Segala kata Yasir menusuk terus masuk ke jantung. Kejamkah dia? Dia cuma mahu bahagia...
"Kalau pun kau nak bahagia, kau tak boleh selfish macam ni." Ujar Yasir tiba-tiba seolah-olah faham apa yang ada dalam hati Tuah.
"Aku bukan selfish. Aku cuma nak yang terbaik untuk kami sekeluarga. Dan Karel... Karel tak boleh pregnant. Masa doktor bagitahu yang dia tak boleh pregnant, aku kecewa sangat. Perasaan aku waktu tu... entah! Aku rasa terkilan."
"Jadi kau fikir apa perasaan Karel?" Pintas Yasir laju. Marah juga dia mendengar luahan hati abang iparnya itu.
"Ilmu aku pasal rumah tangga ni tak adalah hebat pun. Tapi aku tahu hargai orang yang berkorban macam-macam untuk aku."
"Kalau kau tak nak kehilangan Karel, hargailah dia."
Tuah terdiam sejenak. Tubuh Yasir yang meninggalkannya diekori dengan pandangan. Kehilangan Karel? Sanggupkah dia?
/
Telefonnya kembali senyap. Dari tadi bernyanyi menandakan ada panggilan yang masuk. Berpuluh kali bernyanyi, kesemuanya dari orang yang sama.
Tuah.
Bukan dia mahu menghukum suaminya sendiri, tetapi dia juga seorang manusia biasa. Ada dendam, ada perasaan, ada hati... tawarnya rasa apabila mengetahui Tuah menganggap dirinya begitu hina sedangkan kesetiaannya tidak pernah dia gores seperti apa yang Tuah lakukan terhadap dia.
Karel... tidak mampu telan apa-apa pemberian Tuah lagi.
Dari saat Tuah tidak mampu terima kekurangan Karel sebagai seorang isteri, hingga ke saat Tuah duakan dia dengan kekurangannya dijadikan alasan punca... lalu Tuah ragukan pula kesetiaan dia... segalanya terlalu melukakan.
/
Karel memerhati dari dalam kereta yang diparkir sedikit jauh dari rumah.
Dua minggu Karel tidak jejak kaki di rumah itu. Rumah yang dahulunya milik Tuah dan dia. Tetapi hari ini, rumah itu lebih kelihatan seperti milik Tuah dan madunya. Lebih membuatkannya terasa jauh apabila melihat adegan romantis di hadapan matanya sekarang ini.
Tuah, dan Yuna. Bersuapan di gazebo. Bergelak ketawa.
"Bahagianya abang tanpa Karel." Rintihnya sayu. Kalau ikutkan hati, ingin sahaja dia mengangkat kaki dan hentikan seksaan di hati dengan melihat kebahagiaan Tuah. Tetapi rasanya sudah cukuplah dia lari. Rasanya mulai saat ini dia perlu keraskan hati dan hadap segalanya. Kalau Tuah rasa tidak lagi perlukan dia, Karel percaya yang lambat atau cepat Tuah pasti akan pulangkan dia pada ibu bapanya semula.
Perlahan-lahan Karel keluar juga dari kereta lalu mengatur langkah menghampiri pagar rumah. Namun tubuh disembunyikan di balik dinding pagar dek ketidaksediaan mahu berhadapan dengan suaminya.
"Karel? Lama tak nampak you? Pergi kursus ke?" Sapaan jiran rumah sebelah memeranjatkan Karel.
"I feel a bit weird ah bila pagi-pagi I dah tak dengar bunyi enjin kereta you pergi kerja. Rindu nak dengar bunyi enjin kereta you yang dah macam alarm I tau." Lelaki Cina itu bersuara lagi. Kali ini dengan sengihan lebar di bibirnya hingga makin sepet pasang matanya yang sudah sedia sepet.
"I dah balik ni nanti you dah tak rindu dah lah. I buat bising kang jangan you pulak mengamuk!"
"Hahaha! Mana I pernah mengamuk lah. Dah lepas rindu maa." Si apek itu ketawa kecil sebelum meminta diri.
"I nak keluar dating ni. I pergi dulu, okay?"
"Alright. Drive safe." Pesan Karel sekadar berbasa basi. Darren itu jirannya sejak awal dia dan Tuah berpindah ke rumah ini beberapa tahun lepas. Rapat itu tidaklah, tetapi kalau setakat berbual kosong ringkas-ringkas seperti itu bolehlah.
Kereta Darren diiringi dengan pandangannya sahaja. Sehilangnya kereta Darren dari pandangan, Karel cegat di posisi yang sama. Masih berkira-kira mahu masuk atau tidak biarpun hatinya kuat mahu hadapi sahaja hubungannya dengan Tuah yang tidak tahu apa statusnya.
"Mesra sangat? Dah berfikir nak cari pengganti saya ke?" Sapa Tuah sebaik Karel berpaling semula. Karel tergamam sedikit. Tidak menduga Tuah akan perasan dengan kehadirannya di situ. Dia sudah menyorok sebaik mungkin di sebalik tiang pagar rumah.
"Lama tak balik? Tidur mana? Rumah lelaki mana yang awak..."
"Assalamualaikum." Laju Karel memberi salam untuk memotong kata-kata Tuah yang rasanya akan menoreh luka lagi di hatinya. Pagar kecil dibuka lalu dia masuk menghampiri Tuah. Tangan Tuah disalam dan dicium. Tindakannya laju, tidak mahu memberi peluang pada Tuah melontarkan tuduhan-tuduhan tidak berasas.
"Maaf Karel keluar rumah tanpa izin abang. Hm... Ikli... dia kirim salam dekat abang dan Yuna. Karel masuk dulu ya." Tuah yang terdiam tanpa diberi peluang membuka mulut sedikit terpinga. Karel bercakap dengannya seolah tiada apa yang terjadi antara mereka. Biarpun bicara isteri pertamanya itu kedengaran sedikit dingin di telinga.
"Tunggu saya dekat bilik. Kita kena bincang." Arah Tuah tegas pada Karel yang sudah hampir memasuki rumah.
/
Tiada gelaran diri mesra lelaki itu untuknya. Bukan lagi 'abang', malah diganti dengan 'saya'. Aneh terdengar di telinganya. Namun cukup baiklah jika dibanding dengan dua minggu lalu, 'kau' dan 'aku'... yang cukup melukakan.
Pintu bilik yang dibuka dari luar membuatkan Karel bertambah berdebar. Bincang? Perbincangan apakah yang akan Tuah adakan? Untuk lepaskan dia? Atau untuk membincangkan cara terbaik untuk beritahu ibu dan ayahnya yang mereka akan berpisah?
"Saya nak awak berhenti kerja." Ujarnya sebaris sebaik wajah Karel menyapa matanya. Menyanggah segala persoalan di benak Karel. Badan Karel mula tegak.
"Kenapa pulak Karel kena berhenti? Mana Karel ada duit nak bayar duit kereta kalau Karel tak kerja?"
"Saya boleh bayarkan."
"Tapi Karel nak bayar kereta tu sendiri. Lagipun tanggungan abang bukannya Karel seorang sahaja sekarang ni. Yuna pun tanggungan abang. Anak dalam perut Yuna tu pun... banyak nak pakai duit, bang." Sejujurnya, hatinya bergetar sayu berbicara soal anak itu. Yuna berjaya beri Tuah kebahagiaan sebenar seorang lelaki, dan hal itu lebih membuatkan Karel merasa jauh.
"Saya mampu. Berhenti je. Kena bayar pun tak apa, saya boleh bayarkan." Tuah masih selamba dan kekal dengan keputusannya.
"Abang... Karel tak nak hilang kerjaya yang Karel sayang. Please, bang."
"Kenapa berat sangat nak berhenti, hah?! Ada apa dekat hospital tu?! Awak ada skandal dengan doktor pulak ke? Sayang nak tinggalkan doktor tu?" Tembak Tuah bertubi-tubi dengan matanya menjegil memandang Karel yang menunduk seperti orang bersalah.
Karel tarik nafas dalam lalu lepaskan perlahan. Kepalanya didongakkan. Anak mata Tuah diselongkar dalam-dalam. Mencari secebis kepercayaan Tuah pada dirinya.
"Cukup-cukuplah abang nilai Karel dengan kehinaan. Kenapa kesetiaan Karel pula yang abang ragukan sedangkan yang buat perkahwinan kita retak adalah abang sendiri?" Soalan Karel mematikan bicara Tuah. Dadanya makin berombak. Rasa terpukul dengan soalan si isteri. Jadi, adakah Karel mahu menuduh dia curang pula? Curang, dan berpoligami itu dua perkara berbeza!
"Karel nak terus kerja. Boleh ya, bang?" Karel cuba memujuk.
"Tak. Keputusan saya muktamad. Berhenti!"
"Tapi kenapa? Kenapa Karel kena berhenti?"
"Yuna dah nak sampai due date. Dia kena ada orang pantau. Siapa lagi yang boleh jaga makan pakai dia? Awak kan nurse. Awak boleh jaga dia. Nanti saya bayarlah awak setiap bulan."
"Sebab Yuna...?" Karel hampir terkedu. Melihat Tuah yang yakin anggukkan kepalanya, buatkan dia sedar betapa pentingnya Yuna dalam hidup suaminya.
"Apa faedah yang Karel boleh dapat kalau Karel berhenti kerja?" Soalnya berat.
"Keberkatan seorang suami. Kalau awak nak cium bau syurga, dengarlah cakap saya." Jawab Tuah lancar kemudian keluar dari bilik tinggalkan dia seorang diri.
Keberkatan... ya, keberkatan. Selagi Tuah itu suaminya, keberkatan lelaki itulah yang penting untuk dunia akhiratnya.
Tak apa, Karel. Telanlah selagi mampu. Sabarlah, Karel. Entah untuk kali ke berapa, Karel memesan yang sama pada diri sendiri.
No comments:
Post a Comment