Saturday, 9 December 2017

KARAMEL LATTE - 1 (cerpen)

"Lee, Latte satu!" Punggung dihempas pada sofa empuk yang terletak di penjuru gerai Read & Drink. Novel di tangan mula diselak. Waktu masuk ke penjuru rehat ini tadi sempat tangannya mencapai novel itu. Main cekau mana yang sampai. Entah novel apalah yang ditariknya tadi.

"Tak kerja ke?" Ikli datang menghulur latte pesanan Karel. Dia turut melabuh punggung di hadapan Karel untuk lepaskan lelah bekerja dari pagi.

"Sleep day. Ni kau, sorang je ke? Mana lain?"

"Ada kat dapur tu." Jawab Ikli malas. Badannya terasa penat semacam hari ini. Dengan staf buat hal pagi tadi, makin penat dia rasa.

"Aku dengar Tuah nak kahwin lagi?"

"Ha'ah. Bulan depan. Nanti datanglah." Tumpuannya masih beku pada halaman novel.

"Buat kenduri ke?"

"Buat. Nanti aku bagi kad."

"Kahwin bini kedua pun nak buat kenduri? Gila."
Gelas latte diangkat dan disisip penuh nikmat. Latte, baginya boleh berikan tenang untuk jiwa yang dihambat gelora. Setiap titis latte melalui tekaknya mampu hapuskan satu titik kecil duka yang dia rasa.

"Kenduri kecil-kecilan je. Sekali dengan kenduri tahlil. Kalau tak buat kenduri nanti orang kata buat maksiat pulak."

"Okay sekarang ni jangan cakap yang bini kedua Tuah tu duduk sekali dekat rumah tu?"

"Yes." Karel angguk yakin dengan mulutnya menggumam "truth hurts" pada Ikli. Ikli geleng kepala, tidak percaya dengan apa yang didengar.

"Gosh. He must be crazy. Parents kau tak cakap apa-apa ke?"

Helaian muka surat novel diselak lagi. Sedang hakikatnya satu patah perkataan pun dari novel itu tidak melekat di mindanya. Macam mana pula mahu dia fokus pada novel yang sekadar dia ambil untuk elakkan Ikli lihat dia tidak keruan.

"Ibu suruh dia ceraikan aku tapi dia tak nak. Yelah, tak kan lah nak lepaskan the only penglipur lara dia ni." Ada nada seloroh di hujung katanya dan selorohan itu membuat Ikli menjeling tajam.

"Kalau kau tu his only penglipur lara, he would not kahwin lain tau!" Berang juga dia mendengar kata-kata Karel itu. Karel ada hak untuk pertahankan apa-apa haknya.

"Yang lagi sorang tu kilang buat anak. Aku buah hati Tuah." Karel ketawa sakan mendengar bicara sendiri.

"Tak kelakarlah, Karel. Perlu ke dia kahwin lagi? Aku tak faham betullah. Kau ada semuanya. Ada harta. Ada kerja. Bertanggungjawab. Rupa pun... hm not bad."

"Aku lawalah, siot!" Bantal kecil dilempar pada Ikli yang sudah sedia mengelak.

"Karel. Jangan pura-pura kau okay. I know you." Ikli kembali serius.

"Aku tak boleh pregnant. Apa aku nak buat, Ikli oi? Reda jelah. Enough, okay? Aku tak nak fikirkan sangat pasal ni. And aku datang sini sebab nak ajak kau tengok wayang. Jom?"

Ikli pandang lama wajah Karel. Jelas-jelas Karel palsukan senyum dan gelaknya saat ini. Knowing her, she will never show or express her sorrow. Karel baginya hampir sempurna. Dan kalau Ikli itu lelaki, dia sendiri akan kahwini Karel dan tidak mungkin Karel dia sakiti.

"Woi! Jomlah. Jangan menung-menung. Tak jadi princess pun."

/

"I hate him." Ikli menyilang kaki memerhati Tuah dan isteri barunya tersenyum bahagia melayan tetamu yang hadir.

"Aren't they cute?" Soal Karel sengaja menaikkan amarah Ikli. Karel ketawa kemudiannya melihat Ikli yang sudah makin membara wajahnya.

"Kau tak ada hati ke? Hei, tu laki kau tau? Tengok tu! Pegang-pegang tangan pulak."

"Memang dia laki aku. Tapi kau yang emosi ni kenapa?" Karel tergelak-gelak. Dia leka bermain kiub rubik di tangan. Dan itu, adalah salah satu cara untuk elakkan dia dari melihat kebahagiaan suaminya... dengan perempuan lain.

"Kalau dia laki aku, aku tikam lumat dia. Biar mampus."

"Lee, pinjam phone." Minta Karel tiba-tiba. Ikli lontar pandang pelik.

"Aku nak call polis." Karel gelak lagi. Cepat tangan Ikli menunjal kepala Karel. Main-main!

"Dah lah. Biarkan. Kan Tuah bahagia tu. Kalau dia tak bahagia tu satu hal pulak aku yang kena bahagiakan dia. Ni, tolong selesaikan. Aku lost." Kiub rubik dihulur tepat di muka Ikli, tidak mahu Ikli berterusan membebel padanya.

/

Awkward.

Karel pandang dia. Dia pandang Karel. Masing-masing dengan senyum kekok.

"Nak guna?" Tanya Karel untuk hentikan segala kejanggalan antara mereka. Yuna angguk perlahan.

"Awak iron baju abang ke?" Telunjuk Yuna menghala ke helaian kemeja dan seluar slack yang sudah kemas tergantung pada hanger. Karel pandang kemeja dan seluar yang dia gantung sebentar tadi.

"Ha'ah. Aku pun dah settle ni. Nak iron tudung ke..." soalan Karel terhenti apabila pandangannya turun ke pakaian yang berada dalam pegangan Yuna.

Bukan tudung. Bukan juga pakaian milik perempuan itu. Tetapi...

Kemeja. Seluar slack. Dan tie.

"Er... abang minta saya iron baju dia."
Menjeda Karel. Kemudian dia lempar senyum palsu pada Yuna yang teragak-agak.

"Haha... yelah. Okay." Karel berundur memberi ruang pada Yuna. Hanger yang bergantung kemeja dan seluar Tuah diambil.

"Tapi... awak dah iron..."

"Takpe, takpe. Ni boleh pakai lusa tulat. Aku keluar dulu. Ironlah." Cepat-cepat Karel melangkah keluar dari bilik gosok. Sebaik dia keluar, wajah Tuah menyapa pandangannya. Tuah tercegat memandang dia. Karel tergamam.

"Terima kasih tolong ironkan. I will wear this tomorrow." Belum sempat Tuah mahu ambil hanger, Karel pantas tarik hanger tersebut ke belakangnya dan kemeja serta seluar yang dia iron tadi direnyukkan.

"Dekat kemeja ni ada kotor sikit. Kena cuci balik ni. Yuna tengah iron baju abang."

"Karel..."

"Serious ada tompok kotor tadi. Karel tak tipu."

"Are you mad? Awak masih sayang abang, kan?"
Karel tunduk sekejap menanggap soalan Tuah. Tidak mungkin dia tidak sayang. Cuma dia takut... kalau-kalau Tuah yang sudah tidak sayangkan dia.

"Abang sentiasa sayang awak. Kalau nanti abang dah ada cucu cicit pun, abang tak akan abaikan awak. Awak yang pertama dalam hati abang." Tuah tarik tubuh Karel dalam pelukannya. Perlahan-lahan tangan Karel naik ingin membalas pelukan Tuah tapi...

"Yuna..." nama itu meniti di bibir Tuah seraya Tuah tolak lembut tubuhnya menjauh.

"Abang dah habis baca buku?" Soal Yuna mesra. Nampaknya Yuna tahu yang Tuah memang gemar membaca dan membaca itu adalah rutin Tuah setiap malam. Tidak mahu mendera rasanya, Karel membuka langkah meninggalkan Tuah dan Yuna.

Dari jauh dapat telinganya dengar ajakan itu...

"Jom tengok movie? I will show you my most favorite movie." Tuah.

Karel berhenti di balik gerbang dapur. Dadanya terasa senak. Ajakan itu, selalunya Tuah tujukan untuk dia. Bukan pada orang lain. Bukan pada Yuna.

/

Pagi itu setibanya Karel di wad, kelihatan banyak makanan tersedia di atas meja di hadapan kaunter wad. Rakan-rakan yang bekerja shift malam juga belum pulang. Masing-masing sedang berehat di ruangan itu sambil menjamu selera.

"Karel. Come." Kak Puspa menggamit Karel yang sedikit terpinga-pinga dengan situasi itu.

"That's a lot of food. Potluck ke?"

"Kak Puspa dah nak berhentilah. Farewell party." Sahut Waina sambil menyumbat croissant ke dalam mulut. Berhenti? Karel pandang Kak Puspa dengan kening terangkat sebelah.

"So sudden? Are you going to Arab?"

"Yes. Jangan rindu akak ye." Kak Puspa senyum.

"Tak bagitahu Karel pun? I have no present to give you."

"Tak penting punlah present ke, apa ke. Karel doakan akak pun dah cukup syukur dah. Ada nak kirim apa-apa dari Arab?"

"Ada! Nak Mat Arab sorang. Yang tall, berjambang, dan mata warna coklat." Harnani menyampuk membuatkan Waina julingkan mata ke atas. Meluat dengau.

"Engko pun sendu, ada hati nak Pak Arab tall, berjambang, mata coklat. Please."

Harnani lempar senyum geram pada Waina. Kuangajo!

"Orang kata... berangan biar sampai ke bintang. Kalau jatuh pun, tersangkut kat pokok." Matanya dijegilkan.

Waina mencebik. "Patient dalam bilik 304 tu lah kind of people yang tunggu kau jatuh tersangkut kat pokok. Alhamdulillah dah jumpa jodoh. So Kak Puspa tak payah cari Pak Arab yang tall, berjambang dan mata coklat." Galak Waina mengusik Harnani. Harnani masih blur. Patient bilik 304... apabila pesakit bilik 304 itu menyapa mindanya, Harnani tepuk paha Waina kuat.

"Wei! Tu pakcik yang bini ada empat orang tu!"

"Kuangajo lah dia ni..." Harnani menggumam geram.

"Kau bila lagi, Karel?" Tanya Waina lantaran malas hendak melayan Harnani yang kuat berangan.

"Tak kan aku nak tinggal laki aku kat sini sorang-so..."

Yuna. Yuna melintas dalam fikirannya. Dahulu dia mahu bekerja di Arab, tetapi dek memikirkan Tuah, dia lupakan cita-citanya. Sekarang... sekarang Tuah ada Yuna.

/

No!

Ya. Tuah tidak izinkan Karel pergi bekerja di Arab. Tuah kata, sama ada Karel terus bekerja di hospital itu atau berhenti kerja dan duduk sahaja di rumah. Kata dua Tuah berikan namun kedua-duanya tidaklah menepati kehendak Karel.

"What are you doing here?" Tuah peluk bahu Karel dari belakang. Pipi Karel dicium sekilas.

"Sanggup nak tinggalkan abang?" Soal Tuah perlahan. Karel alih wajahnya menjauh dari wajah Tuah. Hatinya juga sudah mula menjauh. Walaupun pernikahan Tuah dan Yuna itu dia tidak bantah, tapi tidak bermakna Karel setuju dengan perkahwinan mereka. Tuah tidak pernah minta keizinannya dan dia sendiri sedar bahawa keizinannya tidak memberi apa-apa erti pada Tuah.

"Abang dah ada pengganti saya..." Karel gumam kata-katanya. Hendak disimpan sahaja, hati meronta-ronta mahu Tuah tahu bahawa dia terluka. Hendak disuarakan lantang, tidak berani pula. Ditelan mati emak, diluah mati bapak.

"Apa?"

"Er... Karel nak cari pengalaman baru. Lagi pun ramai kawan-kawan Karel dah pergi Arab sana. Karel pun nak juga rasa jejak tanah Arab."

"Walaupun perlu berjauhan dengan abang?" Tanya Tuah berbisik. Anggukan laju dari Karel membuat Tuah melepaskan pelukannya. Dia ambil tempat di sebelah isterinya.

"No... abang tak boleh nak izinkan Karel jauh dari abang. Whatever the reason is. Karel kerja dekat hospital tu aje ye?"

"Taknak!"

Terangkat kening Tuah melihat Karel membentak. Kali pertama dalam perkahwinan mereka Karel begitu susah hendak mendengar kata-katanya.

"Alright." Sepatah. Mendengarkan itu, Karel jadi teruja. Betul ke abang izinkan?

"Kalau macam tu, berhenti je. Duduk rumah." Suara Tuah tegas.

"No! Taknak!"

Tuah hela nafas berat. "Karel kan isteri abang? Abang risau kalau awak jauh dari abang. Apa yang awak buat... apa yang awak makan... pukul berapa awak balik kerja... your safety there... everything about you matters so much to me. Walaupun sekarang abang ada Yuna. But you are my first love. Boleh awak ikut kata abang, hm?" Jemari Karel digenggam erat dalam genggamannya. Tangan itu diusap-usap lembut demi mahu memujuk hati yang berontak dalam diam.

"Fine." Keluh Karel, merajuk.

"Good. Abang tahu isteri abang dengar kata." Tangan Tuah yang mahu naik mengusap kepala isterinya ditolak Karel.

"Abang ketua keluarga, kan? Segala keputusan dekat tangan abang. Macam mana hidup Karel, kerja Karel. Segalanya." Karel senyum nipis seraya mengangkat punggung mahu beredar dari situ namun lengannya Tuah pegang.

"Tak apalah, bang. I am a wife. Apa yang Karel boleh buat selain dengar cakap suami Karel?" Pegangan Tuah dilepaskan dan dia berlalu tinggalkan Tuah keseorangan. Tak apa, dia ada Yuna mahu temankan.

/

Kerjanya makin tidak sempurna. Tiap hari ada sahaja yang kurang di mana-mana. Lupa bagi pesakit makan ubat, tekanan darah pesakit tidak diambil, dan lebih teruk lagi dia langsung tidak boleh fokus pada saat genting pesakit dizonkan merah. Sudah banyak kali juga sister marahkan dia. Dan sekarang ini, dia sedang memandu ke gerai Read & Drink. Memandangkan pesakit tidak ramai dan sister terus sahaja suruh dia cuti.
Balik rumah? Bukan tak mahu. Cuma dia rasa dia perlu luangkan masanya lebih dengan Ikli.
Gerai Read & Drink dimasuki. Ruang gerai hampir penuh. Ramai pulak orang hari ni. Mungkin sebab awal bulan. Karel ambil tempat di penjuru gerai, spot biasanya setiap kali berkunjung di situ. Dia sekadar melempar senyum pada Ikli tadi sebab Ikli nampak sibuk sangat pulak.

Wajah Tuah hadir dalam fikirannya. Terimbau semula bagaimana reaksi suaminya itu waktu keputusan medik menunjukkan yang Karel tidak boleh mengandung. Tuah-- sedih, kecewa, terkilan dan sebut sahaja apa-apa terma kesedihan. Tetapi Karel? Dia lebih lagi rasa kecewa. Kecewa dengan dirinya kerana tidak mampu jadi isteri yang sempurna untuk Tuah. Kecewa kerana bukan dia yang akan menjadi ibu kepada anak-anak Tuah. Lebih lagi... Yuna sudah berisi.

Ya. Cepat rezeki Yuna dan Tuah tiba. Dan itu membuatkan Karel lagi terkilan. Kenapa bukan dia yang merasai nikmat membawa nyawa dalam rahimnya dari benih Tuah? Kenapa dia tidak lagi yang Tuah belai tiap malam? Kenapa itu? Kenapa ini?

Sakit. Hatinya sakit. Tetapi dia tidak boleh buat apa kerana dia tetap seorang isteri yang kurang serba serbi.

"Latte." Ikli duduk.

"Dah habis kerja ke? Dengan uniform kau ni?"

"Sister suruh aku cuti sebab patient tak ramai. Lagi pun, aku tak boleh fokus sangat buat kerja. Nak balik rumah pun rasa tak best. Ni aku datang sini. Nak jumpa kau."

"Eleh. Dah semak otak baru nak datang jumpa aku. Ni apahal lagi? Tuah nak kahwin lagi sorang? Yuna pun tak boleh pregnant?" Tanya Ikli bertubi-tubi, sinis semuanya. Itulah Ikli yang sesebenar. Lepas mulut. Tetapi hati dia baik.

Karel gelak sebelum cicip Latte panas. Jelas sangat gelaknya dibuat-buat.

"Yuna mengandung." Beritahu Karel. Sedikit pun Ikli tidak terkejut. Dia sekadar menayang muka yang beraut "not bad". Untuk sejenak, suasana antara mereka bagaikan sunyi. Ikli tidak mahu komen apa-apa. Mengucapkan tahniah untuk pregnancy Yuna pada kawannya ini bukanlah pilihan yang baik. Malahan, untuk suruh Karel tetap terus kuat juga rasa seperti tidak patut. Dia sudah diduga hebat, tiada salahnya untuk Karel berperasaan begitu. Yang penting, Ikli percaya Karel akan pulih juga lambat atau cepat.

"Nanti... kau kahwin..." suara Karel pecahkan jeda antara mereka. Ikli fokus pada Karel biarpun memang dari tadi dia perhati sahaja raut celaru Karel.

"Cari lelaki yang boleh terima kurang lebih kau. Okay?"

"Kenapa pulak?" Sengaja dia bertanyakan begitu untuk mengetahui jawapan Karel.

"Aku tak nak kau rasa apa yang aku rasa." Jawabnya perlahan. Ikli angguk kecil.

"Karel."

"Hm?"

"Sakit?"

Karel tatap mata Ikli. Lama. Sebelum anggukkan kepala dengan senyuman tipis di bibir.

"Sangat."

"Aku tak tahu sampai bila aku boleh tahan." Sambungnya. Pandangan Ikli pada Karel hanyalah pandangan kasihan. Sungguh, kasihnya dia pada Karel sudah seperti kasihnya pada adik beradik dia. Melihat Karel begini, menyekat juga rasa bahagia dia.

"Latte tu free. Aku belanja." Ujar Ikli mahu menukar topik. Sebelum dia yang berendam air mata, lebih baik dia tukar cerita. Nanti habis Karel ketawakan dia pulak.

Karel ukir senyum lagi. Kali ini nampak lebih ikhlas.

"Hari-hari belanja aku boleh tak?"

"Ah takde! Bankrupt lah aku!"

Akhirnya kedua-dua mereka ketawa dengan gurauan sendiri.

/

"Karel kerja dua shift ke hari ni?" Sebaik dia jejak kaki dalam rumah, soalan itu yang menyapanya. Dari Tuah yang tadinya membaca surat khabar namun sekarang ini surat khabar telah diletak tepi dan Tuah menanti jawapannya.

Pukul 11.27 malam. Itu masa yang dia jeling pada dashboard sebelum keluar kereta tadi.

"Tak cakap dekat abang pun kerja double shift?" Tuah menyoal lagi apabila Karel hanya berdiri tegak membisu.

Sepatutnya pukul 11 pagi tadi dia sudah sampai rumah dek Sister halau dia bercuti. Tapi dia betul-betul luangkan masa dengan Ikli tadi. Tidak ke mana pun, temankan Ikli di tempat kerja kemudian singgah di rumah Ikli. Makan-makan, borak-borak, baring-guling-- tak sedar hari sudah terlajak malam. Selalunya kalau dia kerja double shift iaitu shift pagi dan petang, memang waktu beginilah dia pulang.

"Lain kali kalau nak double shift bagitahu abang dulu, okay? Awak dah makan ke belum? Lauk ada lagi tu. Kalau nak makan abang boleh temankan."
Ajakan Tuah sedikit memeranjatkan Karel. Dia ingatkan Tuah hendak marah dia kerana tidak memaklumkan padanya tentang double shift... tak, Tuah tak boleh tahu dia sebenarnya sekadar melepak dengan Ikli sepanjang hari.

"Karel? Awak okay ke tak ni? Penat sangat? Patients ramai ke tadi?" Tuah menghampiri.

"Aa... Karel okay. Tu lah... penat sikit." Belakang tengkuk digaru dengan telunjuk. Jarang-jarang dia menipu Tuah. Lain pula rasanya ni.

"Karel nak tidur je. Karel naik dulu eh?" Tergesa-gesa Karel berlari memanjat tangga ke tingkat atas. Tuah tidak terkata apa. Kenapa pelik sangat bininya hari ni?

"Abang." Bahunya terasa disentuh. Saat dia toleh, wajah Yuna yang sembab menyapa matanya.

"Karel dah balik?"

"Dah. Dia dah naik dah. Penat sangat kot tu." Jawab Tuah biarpun dia sendiri sangsi dengan jawapannya. Yuna angguk sahaja. Dari petang tadi suaminya menunggu Karel pulang. Tidak sangka yang Karel akan pulang sebegini lewat. Patut ke dia bagitahu apa yang dia tahu...?

"Er... abang..."

"Ya, sayang."

"Senja tadi Yasir ada whatsapp Yuna." Ujarnya seayat. Berkira-kira lagi untuk beritahu Tuah.

"Ya? Dia cakap apa?" Tuah leka dengan telefon pintarnya.

"Yasir... Yasir kata..." Yuna tergagap-gagap. Tuah angkat muka.

"Kata apa, Yuna?"

"Dia nampak Karel dekat satu kafe. Dalam pukul enam petang tadi."

Tuah diam. Menanti sambungan kata-kata Yuna.

"Dia perhati Karel. Lama jugak Karel duduk dekat kafe tu."

"Kafe mana?"

"Gerai Read & Drink." Yuna mula rasa serba salah. Wajah Tuah sudah berubah. Lantas tangan Tuah digenggam erat.

"Yuna... bukan nak abang marah Karel... cuma Yuna nak abang tahu yang Karel bukannya buat double shift tapi..." tidak habis Yuna memujuk, Tuah bingkas bangun merentap tangannya dari genggaman Yuna. Bilik Karel dituju laju.

"... tapi mesti ada sebab Karel buat macam tu! Abang!" Yuna cuba mengejar langkah Tuah tapi kepalanya kembali terasa pening. Badannya juga menjadi lemah semula dek perut yang memboyot.

/

Tubuh yang dibaluti comforter tebal diperhati lama. Apa sebenarnya yang ada dalam hati isterinya yang satu ini? Kenapa Karel tipu? Karel banyak berubah. Bukan dia tidak perasan. Semakin diam. Kerap elakkan diri darinya. Makan pun jarang semeja. Berkurung dalam bilik. Semua dia perasan. Betapa Karel mahu elakkan diri dari bertembung dengannya, isterinya itu sanggup bangun tidur awal pagi untuk mengemas rumah, sediakan sarapan dan masuk semula ke bilik. Jika harinya bekerja, sejam awal sudah Karel keluar rumah. Padahal hospital dan rumahnya hanya sejengkal. Dan jika harinya bercuti, terperuk sahajalah dalam biliknya.

Tuah perasan segalanya. Tapi... adakah salah dia kerana berkahwin dengan Yuna demi menambahbaik kehidupannya?? Tak bolehlah dia mahu kehidupan yang lebih sempurna? Sejujurnya, selepas ada Yuna dalam hidupnya, Tuah rasakan lebih bahagia. Lebih lengkap dengan adanya denyutan jantung dalam rahim Yuna.
Perlahan katil saiz queen itu dipanjat. Tidak pasti Karel sudah lena atau sengaja berpura-pura lena.

"Karel..." bahu Karel disentuh lembut. Ada dehaman berbunyi dari mulut Karel menyahut panggilan Tuah.

"Awak dari mana?" Tuah duduk bersila di atas katil. Karel takzim.

"Jujur dengan abang, awak ke mana tadi? Awak bukan double shift, kan?" Tanya Tuah lagi. Mahu Karel betul-betul jujur dengannya.

"Karel... double shift..." masih berselindung. Tuah hela nafas geram. Dia menunggu Karel dari petang tadi sampai ke tengah malam dengan hati yang gundah segala, rupa-rupanya Karel bukan di hospital. Tetapi di tempat lain! Sungguh dia kecewa. Dan sekarang, Karel masih tidak mahu berterus terang.

Karel bangun dari baring, dan duduk di sebelah Tuah.

"Abang tak nak marah, Karel. Please be honest. Where were you?" Sebalik 'tak nak marah' Tuah, suaranya makin tegas juga di pendengaran Karel.

"Karel... Karel..."

Diam. Tuah urut pelipisnya. Gelengan di kepala jelas di mata Karel.

"You have changed so much. Isteri abang tak pernah tipu abang sebelum ni. Apa jadi dengan Karel ni? Cuba cakap Karel pergi mana tadi? Abang dekat rumah risau tunggu Karel, Karel tahu ke tak?"

"Kalau risau, kenapa tak call?"

Suasana jeda seketika. Tuah terpana dengan soalan Karel. Kali ini, giliran Karel menanti jawapan Tuah. Kepalanya menoleh memandang wajah suaminya.

"Abang risau di mulut aje? Abang tak risau di hati kan?" Karel senyum nipis. Tangannya naik memegang dada sang suami.

"Sebab dekat hati abang bukan tempat Karel lagi." Tangannya turun bermain pula dengan jari sendiri. Kepalanya tekur memandang cadar.

"Awak benci Yuna ke?"

"Tak."

"Jadi? What is so wrong abang kahwin dengan dia? I want to be happier. I want to be a daddy too."

Karel toleh pandang Tuah semula. "Karel benci diri Karel. Karel tak cukup baik untuk abang. Sampai abang kena kahwin lain. Betapa kurangnya Karel dalam hidup abang, sampai abang kena cari seorang isteri yang lebih sempurna untuk abang."

"Karel... we can be a happy family. Awak, abang, Yuna..."

Kata-katanya terhenti. Terdengar bunyi seperti orang muntah. Tuah mula tidak senang duduk. Hatinya melonjak mahu melihat keadaan Yuna, tetapi perbincangannya dengan Karel belum tamat.

"Pergilah tengok. Kita dah habis bincang." Karel baring, tarik comforter kaler biru laut menutup penuh tubuhnya. Sejurus itu, terus terasa katil bergoyang menandakan Tuah sudah turun dari katil. Kedengaran pintu dibuka dan ditutup keras.

Mata Karel kali ini tidak mampu lagi berkompromi memendam air mata. Terluah juga. Entah kenapa, kepergian Tuah itu dirasakan seperti dia telah kehilangan Tuah untuk selamanya.

/

"Ni. Kalau awak pakai ni mesti awak cantik sangat. Sumpah abang tak cari lain!" Tuah angkat tangan kanannya tegak membuatkan Karel ketawa senang. Dress labuh berwarna coklat pastel diambil dari tangan Tuah. Tubuh Tuah dirapati.

"Betul ni tak cari lain?" Karel tayang muka tidak percaya.

"Betullah. Awak cukup sempurna untuk abang. Dan, hati abang ni tak muat nak letak orang lain dah. Sebab awak gemuk." Seloroh Tuah lalu Karel tumbuk dadanya kuat.

"Aduh! Sakit, sayang."

"Karel gemuk ke?" Karel tarik muka masam. Ada ke cakap dia gemuk? Mana ada!

"Tak adalah. Cinta abang untuk Karel je yang gemuk gebu." Karel ketawa bahagia mendengar kata-kata manis Tuah. Betullah orang kata, terlebih manis itu tidak bagus.

"Ehem!"

Karel tergamam apabila seorang lelaki duduk di hadapannya dengan segunung nasi dan lauk campur. Juga segelas air kosong suam. Habis terbang segala ingatannya pada kenangan lalu bersama Tuah.

"Saya Yasir." Yasir memperkenalkan dirinya apabila melihat kerutan teruk di kening Karel, aka isteri kepada abang iparnya. Yasir tadah tangan baca doa makan. Khusyuk. Usai membaca doa, lengan kemejanya disinsing hingga ke siku. Karel masih memandang dia pelik. Mungkin sedang persoalkan kenapa dia duduk di situ dan bukan di meja lain sedangkan kafe hospital itu begitu lengang.

"Karel kan?" Soalnya sebelum sesuap nasi masuk ke dalam mulutnya. Sengaja dia berbasa basi. Namun Karel kaku tidak memberi jawapan mahupun sebarang reaksi. Hanya matanya ligat scan Yasir yang berselera menikmati makanan.

Sekeping kecil daging salai disuap masuk ke dalam mulut lagi. "Hm, sedap. Nak try?" Lalu sekeping lagi daging salai disua ke arah Karel. Baru Karel hendak buka mulut mahu bertanya siapakah Yasir itu sebenarnya, bahunya ditepuk kasar dari belakang.

Karel menoleh, sedikit terkejut dengan tepukan di bahunya. Wajah Tuah yang membahang kemerahan menyapa mata.

"Kau buat apa kat sini, Yasir?" Soal Tuah kepada Yasir tetapi matanya tidak berganjak dari wajah Karel. Patutlah makin berubah... desisnya dalam hati, sinis.

Tuah... kenal Yasir? Karel tertanya-tanya. Siapa Yasir ni?

"Aku jenguk kawan tadi. Lepas tu singgah makan kejap, tak sangka jumpa bini kau, bang. Kak Yuna mana?" Yasir betul-betul selamba sedangkan Tuah bagaikan mahu meletup saat itu. Lebih membuatnya geram apabila Karel langsung tidak menunjukkan rasa bersalah terkantoi dengannya.

"Tengah check up. Jom balik, Karel." Lengan Karel ditarik kasar memaksa Karel bangun. Hendak tak hendak, Karel turutkan saja tingkah Tuah biarpun dia tidak memahami apa-apa. Mahu melawan juga seperti tidak berani kerana lain benar sisi Tuah yang ini.

/

Mereka duduk di ruang menunggu sementara Yuna masih di dalam bilik rawatan. Tuah dari tadi rasa panas punggung. Dia marah!

"Give me your phone." Tuah tadah tangan tepat di hadapan Karel. Karel kerut kening.

"Nak buat apa?" Soal Karel perlahan. Telefon pintarnya masih aman di dalam handbag.

"Just give me." Tiap perkataannya ditekankan supaya Karel tahu yang dia sedang serius. Karel keluarkan telefon pintarnya dan dihulur pada Tuah. Sebaik telefon itu sampai di tangan Tuah, habis segala pelosok maklumat dalam telefon itu diselongkar. Contact name, whatsapp, message, instagram dan sebagainya. Tiada yang mencurigakan. Tuah tidak puas hati. Galeri gambar dibuka. Ada beberapa gambar selfie seorang lelaki. Bukan Yasir.

"Siapa ni?" Tuah buka gambar itu dan ditunjuk pada Karel. Karel yang dari tadi memerhati sekeliling tergamam sedikit apabila telefon pintarnya Tuah halakan pada wajahnya.

"Siapa tu, Karel?!" Telefon pintar isterinya dilempar kuat ke lantai. Meluncur jauh telefon itu. Berkecai, memang pasti. Ternganga Karel melihat Tuah hari itu. Apa yang tak kena ni?! Itu gambar boyfriend Ikli yang dihantar padanya menerusi whatsapp semalam! Ikli mahu tunjukkan boyfriendnya pada Karel. Itu sahaja.

Karel mahu menjawab membela diri namun tersekat saat Tuah cengkam kuat dagunya. Wajah Karel ditarik menghadap dia.

"You disappoint me." Dagu Karel dilepas kasar. Berpaling wajah itu.

"Bang... kenapa ni?" Yuna. Karel segera menunduk. Tidak mahu Yuna lihat wajahnya yang sugul. Malu mahu tunjuk sudut lemah diri sendiri pada madu yang telah berjaya membuat suaminya menduakan dia.

"Karel? Karel dah habis kerja ke?" Soalnya pada Karel lantaran soalannya pada Tuah tergantung sepi.

"Awak dah settle belum?" Tanya Tuah dingin.

"Em, dah." Jawab Yuna teragak-agak. Sebaik dia menjawab, Tuah bangkit dan pantas berjalan keluar hospital. Yuna terkebil-kebil. Karel yang menunduk dari tadi pun bangun. Namun gayanya mahu menuju ke arah lain.

"Hmm... Karel? Karel dah habis kerja kan? Jomlah balik sekali." Langkah Karel terhenti.

"Baliklah dulu." Ujar Karel lalu teruskan langkahnya ke arah telefon pintarnya yang berkecai. Kepingan telefonnya dikutip setiap satu. Telefon itu, seperti hatinya. Sudah berkecai, cuma bezanya tiada yang sudi mengutip.

/

Hari Ahad. Bermakna sudah tiga hari berlalu kejadian di hospital itu dan tiga hari jugalah Tuah tidak bercakap dengannya. Memandang pun tidak. Keadaan hatinya? Usah dipersoal-lah. Entah-entah sudah lumat tanpa dia sedar. Dan kebetulan pula dia cuti hari itu. Mungkin dia perlu lakukan sesuatu untuk memujuk Tuah.
Pagi itu, tidak seperti selalu, selepas solat Subuh dia terus ke dapur untuk sediakan makanan. Rasanya, cukup-cukuplah dia elakkan diri dari Tuah. Hinggakan perkahwinannya sudah renggang begini... semua ini salah dia. Dia yang buat perangai. Tak apa, dia akan perbetulkan keadaan.

Nasi lemak sudah terhidang siap atas meja. Pintu bilik tidur Tuah dan Yuna dipandang dari bawah. Jam di dinding dijeling. Sudah pukul 8.30 pagi. Takkan tak bangun lagi? Karel duduk di meja makan. Sabar menanti Tuah dan Yuna turun untuk mereka makan semeja buat kali pertama.
Sejam sudah berlalu. Nasib baiklah Karel leka menconteng doodle dalam buku contengannya. Nasi lemak sudah kian mendingin. Pintu bilik Tuah dan Yuna masih terkatup.

Dengan teragak-agak, Karel naik menuju bilik tidur suaminya dengan Yuna. Pintu diketuk perlahan.

"Abang... jom breakfast. Karel dah masak dah."
Senyap tiada jawapan. Karel ketuk lagi pintu. Tetap senyap. Perlahan-lahan tombol pintu yang tidak berkunci dipusing. Pintu terbuka. Dan yang terhidang di hadapan matanya hanyalah bilik yang kosong tanpa penghuni.

Kemudian, telinganya terdengar bunyi kenderaan masuk ke dalam garaj.

"Assalamualaikum." Yuna beri salam perlahan sahaja, sekadar beradab memasuki rumah. Mungkin tidak menduga Karel ada di rumah hari ini. Laju Karel keluar dari bilik tidur Tuah dan Yuna. Tidak mahu ada salah faham pula nanti mengatakan dia menceroboh privasi mereka atau apa-apa.

"Waalaikumsalam." Karel jawab salam. Yuna mendongak memandang tingkat atas rumah. Tercegat Karel di situ. Wajah Yuna bertukar keruh. Hidungnya menghidu bau nasi lemak.

"Karel masak ke?" Soalnya. Karel menuruni tangga dengan senyuman paksa.

"Ha'ah. Aku dah masak. Jomlah makan." Karel terus menuju ke dapur. Dia tidak mahu tanya dari mana Yuna dan Tuah kerana jelas di jinjingan Yuna sebuah bag lutsinar yang berisi telekung. Dan dek pintu utama yang terbuka luas itu, Karel nampak Tuah baru keluar kereta dengan Baju Melayu bersama kain pelikat. Ke mana lagi? Kalau bukan dari Subuh berjemaah di surau taman perumahan mereka itu.

Itu, rutin dia dan Tuah suatu waktu dahulu. Hatinya runtun mengetahui rutinnya itu sudah diambil alih oleh Yuna.

"Saya dan abang... dah breakfast dekat luar tadi. Kami tak tahu yang Karel cuti hari ni. Kalau tak... boleh keluar jemaah sekali." Yuna serba salah toleh pandang Tuah yang baru jejak kaki ke dalam rumah. Pintu utama ditutup. Tuah berwajah selamba.

"Oh... tak apalah. Yang ni simpan untuk tengah hari nantilah." Terus Karel tutup hidangan nasi lemak yang sudah sejuk dengan tudung saji.
"Sayang, nanti kita lunch luar okay. Abang teringin nak makan nasi ayam penyet pulak." Tuah usap perutnya. Yuna senyum manis melihat suaminya yang memang sejak dua menjak ini sangat manja.

"Okay." Jawab Yuna tanpa terfikirkan apa-apa. Mereka kemudiannya beriringan ke ruang tamu. Televisyen dinyalakan. Entah rancangan apa yang mereka tonton, Karel tidak tahu.

Nasi lemak yang tidak bersentuh dipandang sepi. Memang rasanya tidak akan disentuh nasi lemaknya ini. Dia pun... tiada selera mahu menjamah apa-apa. Lantas tangannya laju mengambil tupperware untuk membungkus nasi lemak yang dimasak tadi.

Satu tupperware besar, satu tupperware kecil. Yang besar akan dia hantar ke hospital. Pasti rakan-rakannya belum bersarapan. Seperti biasa. Dia juga kalau kerja shift pagi, tidak sempat hendak bersarapan pun. Dan yang tupperware kecil, akan dia hantar pada Ikli.

No comments:

Post a Comment