Sunday, 10 December 2017

KARAMEL LATTE - 2 (cerpen)

Kedua-dua tupperware berisi nasi lemak sudah selamat dihantar pada rakan-rakannya di hospital dan juga pada Ikli. Ikli ada tanya tadi,

"Apa mimpi kau hantar bekal untuk aku?"
Dan jawapannya, "saja. Buat amal jariah." Berseloroh sahaja. Itu dirinya yang sebenar ketika bersama dengan Ikli. Dia tidak pernah tunjukkan kesedihannya pada Ikli. Cuma, dia tidak yakin pada hari mendatang... dia takut dia datang menangis terduduk mengadu nasib pada sahabatnya itu.

Karel keluh nafas halus. Hatinya belakangan ini langsung tidak berehat tenang. Fikirannya menerawang jauh memikirkan segalanya. Perihal Tuah. Perihal Yuna. Anak yang bakal dilahirkan tidak lama lagi. Dan juga tentang dia sendiri... entah bagaimana takdirnya pada masa akan datang.

Ligat dia memikir nasib, tiba-tiba...

BAM!

Kakinya kuat memijak brek. Kereta berhenti selepas beberapa ketika. Seorang lelaki keluar dari kereta yang dilanggarnya dengan wajah bengis. Ya Allah, cuaknya hanya Allah yang tahu.

"Keluar!" Tingkap keretanya diketuk kuat bertubi-tubi oleh lelaki itu. Kemudian lelaki itu berundur memberi ruang Karel keluar dari kereta.

"Keluar cepat!"

Karel teragak-agak. Rasa hendak menangis di situ jugak! Perlahan dia buka pintu kereta namun lelaki tadi tarik pintu keretanya kasar. Gayanya, persis seorang gangster.

"Sorry, encik. Salah saya." Karel bersuara perlahan, cepat mengaku silapnya. Kepalanya juga menunduk sahaja. Tidak berani mahu membalas pandang tuan kereta yang dilanggarnya tadi. Lagi pula jalan raya sudah menjadi padat dengan kereta dek insiden yang berpunca dari dia. Malu hendak tayang muka.

"Memanglah salah kau. Ni siapa yang nak tanggung repair kereta aku ni?"

"Saya. Saya akan tanggung semua. Cuma... habis sini je, boleh tak encik? Kalau boleh, saya tak nak turun naik mahkamah."

Lelaki itu pandang Karel atas bawah lalu gelengkan kepalanya. Dia pasti Karel mengelamun tadi sampaikan tidak perasan lampu isyarat bertukar merah. Dia sangat pasti. Kerana di kafe hospital kelmarin, Karel juga sedang mengelamun. Di majlis perkahwinan Tuah dan kakaknya juga Karel banyak termenung.

Ya, nasib baik kereta yang Karel langgar itu kereta dia. Yasir. Kalau kereta orang lain, entah macam mana Karel dimaki. Itu pun Yasir tidak rasa yang Karel masih ingat akan dia.

"Pergilah balik dulu. Nanti kereta dah sudah repair, aku call kau. So, bak nombor telefon."

"Er... phone saya... rosak."

Yasir tenung Karel yang tidak tentu arah. Tergaru sana-sini dengan jemari yang jelas bergetar cemas.

"Baliklah." Ujarnya sepatah. Tidak sampai hati mahu membebankan lagi perempuan itu. Dia tahu dari awal lagi Karel itu isteri pertama abang iparnya. Kakaknya juga tahu Tuah sudah beristeri namun Yuna tetap mahu bersama dengan Tuah.
Mata Karel bercahaya mendengar ujaran Yasir.

"Betul ke ni, encik? Nanti macam mana encik nak tuntut duit repair kereta?"

Yasir senyum senget. "Tahulah aku nak cari kau kat mana." Yasir beredar ke keretanya. Terkebil-kebil Karel menanggap maksud kata-kata lelaki itu. Apa maknanya?

/

"Bang, jom makan." Pelawa Yuna. Hari ini, dia tolong Karel sediakan juadah tengah hari. Teringin juga untuk berkenalan rapat dengan madunya yang pendiam itu. Dan, kalau boleh dia mahu berkawan dengan Karel sebagai kata maaf kerana meminta kongsi cinta dan perhatian Tuah.
Tuah pandang jam di dinding. Baru pukul 12 tengah hari.

"Awal lagilah, yang. Nanti perut abang meragam makan tak ikut masa." Tuah beralasan sebenarnya. Dia tahu beberapa hari belakangan ini Karel begitu gigih memasak untuknya. Sekarang pun perempuan itu agaknya sedang bersilat di dapur. Bukan dia tidak kasihan dengan Karel. Tetapi... dia jadi tawar hati dengan isterinya itu. Wajar ke seorang isteri berlaku curang hanya kerana suaminya berkahwin dua?

Yuna menghampiri Tuah lalu duduk di tempat letak tangan sofa yang Tuah duduki.

"Abang. Jomlah... Karel penat masak tu. Kejap lagi dia nak pergi kerja. Nanti kalau perut abang meragam, biar Yuna sapu minyak panas kat perut abang. Okay?" Yuna berbisik dekat di telinga Tuah. Risau kalau Karel terdengar, kecil hati pula perempuan itu mengetahui Tuah beralasan mahu memakan air tangan isteri pertamanya.

Tuah dongak pandang Yuna di sisi lantas dagu tajam Yuna dicuit mesra.

"Pandainya isteri abang pujuk. Okaylah. Jom." Tuah tersenyum sebelum matanya bertembung dengan mata Karel yang memerhati di dapur.

/

Sempurna.

Ya, Tuah dan Yuna cukup sempurna di matanya. Senyuman yang terukir di bibir Tuah untuk Yuna itu, dahulunya adalah makanan matanya hari-hari. Ya Allah, perkongsian tidak pernah menyenangkan. Mengapa?

Tidak lama matanya membalas pandang mata Tuah. Sekejap sahaja sebelum dia tunduk melarikan matanya dan letak sejag air sirap sejuk yang dipegang dari tadi di atas meja makan. Melihatkan Yuna dan Tuah yang melangkah seiringan ke meja makan membuatnya berdebar. Kencang. Tangannya yang menggigil menahan perasaan digenggam erat.

Rasanya... dia tidak kuat untuk makan semeja dengan pasangan sejoli ini. Lantas tangan yang basah dilap pada kain yang tergantung di balik gerbang dapur.

"Abang dengan Yuna makanlah. Karel nak pergi siap-siap. Takut lambat pulak masuk kerja." Laju Karel melangkah meninggalkan meja makan. Tidak sempat pun Yuna mahu menghalang. Tuah selamba duduk menceduk nasi dan lauk ke dalam pinggannya.

/

Karel tersandar di kerusi kereta untuk melepaskan lelahnya bekerja seharian. Hari ini sahaja, dua pesakit yang berada bawah seliaannya mati. Kedua-duanya mati mengejut. Gila betul. Sepanjang empat tahun bekerja sebagai staf nurse, ini kali pertama kes sebegini terjadi. Tidak menang tangan dia tadi. Hendak uruskan prosedur mayat yang ini, dan mayat yang itu. Kalut.

Keretanya diparking di luar rumah sahaja. Di dalam perkarangan rumah ada satu kereta asing yang terparkir di situ. Mungkin tetamu Yuna. Telahnya.

Dia keluar dari kereta. Melangkah masuk ke perkarangan rumah dengan perlahan untuk mengambil angin pula. Baru dia hendak melangkah ke ruang landscape tepi rumah, Tuah tercegat di muka pintu utama. Ketat wajahnya.
Karel kekok. Nak senyum ke? Soalnya lantas mengukir senyuman janggal untuk Tuah. Selalunya Tuah menyambutnya dengan senyuman manis. Tetapi malam ini, tidak.

"Buat apa kau balik lagi?" Soal Tuah bersahaja seraya menghampiri Karel yang terpinga-pinga.

"Tu boyfriend kau ada kat dalam tu. Mungkin nak bawa kau balik rumah dia." Kata-kata Tuah menyentap tangkai jantungnya. Boyfriend? Siapa? Dan... kenapa pula suaminya ni?

"Kalau kau dah tak suka dekat aku, cakap je. Aku pun tak teringin nak jadi suami kepada isteri nusyuz macam kau. Curang belakang aku. Isteri jenis apa ha kau ni?"

Wajah Tuah serius. Karel tergamam. Kenapa ni? Dia tidak rasa Tuah sedang bergurau atau pun sedang membuat prank padanya.

"Aku boleh ceraikan ka..."

"Abang! Apa ni?" Yuna terkedek-kedek membawa perut boyotnya mendapatkan Tuah. Lengan Tuah dipegang menggunakan kedua-dua tangan.

"Janganlah macam ni. Abang lupa ke janji abang pada Yuna? Abang janji abang tak akan ceraikan Karel, kan?"

Soalan Yuna itu menarik perhatian Karel. Berjanji untuk tidak ceraikan dia? Jadi, kalau tiada janji pada Yuna itu, adakah dia dibuang sahaja?

Di belakang Yuna muncul satu wajah. Karel kenal lelaki itu. Lelaki yang dia langgar kelmarin. Macam mana lelaki itu tahu dia tinggal di sini? Sekejap... dia... dia ke yang Tuah katakan boyfriend itu? Siapa lelaki itu pun Karel tidak kenal!

"Pergilah, Karel. Aku tak nak tengok muka kau." Tuah berpaling darinya. Menyentap jantungnya yang sudah sedia rapuh.

Namun dia hanya mampu tersenyum. Senyuman tidak percaya. Tidak percaya dengan apa yang dia dengar, dengan apa yang terhidang depan matanya saat ini. Satu apa pun dia tak faham. Tiba-tiba... tiba-tiba, Tuah sebut tentang cerai? Janji dengan Yuna? Boyfriend? Dan Tuah halau dia?

"Karel... saya minta maaf. Yang ini sebenarnya adik saya. Abang salah faham je sebenarnya. Karel jangan ambil hati ya?"

Tuah terus beredar memasuki rumah meninggalkan dia dengan Yuna dan adik lelaki Yuna yang dia baru kenal malam ini.

Karel tarik nafas dalam dan dihembus keras. Kemudian dia ketawa pula. Sungguh dia tidak tahu mahu katakan apa, lakukan apa, dan beri reaksi apa. Semuanya sangat tiba-tiba.

"It's okay. I'm good." Ujarnya dengan sisa tawa. Langkahnya juga diatur terus ke kereta. Tiada gunanya lagi berada di situ.

/

"Karel?" Tubuh Ikli terus dipeluk erat. Seperti tidak mahu dilepaskan. Dadanya bagai mahu pecah. Entah apa yang terjadi. Entah apa yang merasuk Tuah. Entah!

"Karel... kenapa?" Tanya Ikli. Terkejut dia menerima kedatangan Karel pada waktu begini. Tidak pernah dibuat Karel berkunjung ke rumahnya lewat malam seperti ini. Dengan wajah Karel yang sugul... menambahkan tanda tanya dalam hatinya.

"Aku nak latte." Ujar Karel perlahan. Dia perlukan Ikli dan latte pada saat-saat begini. Ikli lepaskan pelukan Karel pada tubuhnya.

"Okay. Masuk dulu. Aku buatkan kau latte."
Karel duduk termenung di kerusi rotan rumah Ikli. Dari tadi otaknya hanya bertanyakan 'kenapa?' semata-mata. Salah faham apa yang Tuah sedang alami? Kenapa pula adik lelaki Yuna ada di situ?

"Kau okay tak ni?" Secawan latte panas diletak di atas meja. Karel senyum.

"I'm not okay. But it's okay. Boleh aku tidur sini malam ni?"

"Sure, Karel. Pernah ke aku tolak permintaan kau?"
Soalan Ikli dirasakan sangat memukul hatinya. Jawapannya, tidak. Ikli tidak pernah tolak permintaannya. Ikli itu, kawannya. Tetapi Tuah... suami dia. Sampai hati Tuah tolak dirinya begitu sahaja?

No comments:

Post a Comment