Tuesday, 12 December 2017

KARAMEL LATTE - akhir (cerpen)

"Karel, boleh tolong pegangkan Hajar kejap tak?"
Karel yang sedang menjamah popcorn sambil menonton televisyen sambut sahaja tubuh anak kecil yang dihulurkan kepadanya itu.

Siti Hajar. Sudah dua bulan usianya. Sayang? Mestilah. Dia berhenti kerja semata-mata untuk Siti Hajar. Sudah pasti dia sayang. Siti Hajar yang ralit memandang dia buatkan Karel tidak lagi fokus pada siaran di televisyen. Siti Hajar diagah-agah seronok.

"Tengok aunty makan popcorn ke? Nak rasa?" Hidung Siti Hajar dicuit-cuit mesra. Terawang-awang dua tangan kecil Siti Hajar memberi respons padanya. Karel tambah seronok apabila mulut kecil Siti Hajar mengeluarkan bunyi-bunyi comel apabila bekas karamel popcorn yang melekat di jarinya dicalitkan sedikit di lidah Siti Hajar.

"Hajar nak lagi? Sedap ya?" Siti Hajar diagah lagi. Baru hendak dicalit lagi sisa Karamel yang melekit di jari pada lidah Siti Hajar, anak itu ditarik laju dari dakapannya.

"Apa ni, Karel? Hilang akal ke?"

Sergahan Yuna membuatkan dia gamam. "Kenapa?"

"Kenapa?" Yuna ulang soalan Karel.

"Karel bagi Hajar makan apa? Ya Allah. Hajar ni kecil sangat lagi, Karel. Kalau tercekik macam mana? Siapa nak bertanggungjawab?"

"Aku bagi dia rasa karamel aja. Bukannya popcorn."

"Kenapa ni?" Soal Tuah yang sedang turun dari tingkat atas rumah apabila mendengar bising di bawah.

"Karel ni. Dia bagi Hajar makan benda bukan-bukan. Kalau jadi apa-apa dekat Hajar, siapa yang susah?" Bebel Yuna lagi. Siti Hajar yang mula mencebik hendak menangis dalam gendongannya dipujuk-pujuk.

"Ya Allah. Aku tahu apa yang aku buat. Tak kanlah aku nak bagi Hajar makan benda keras pulak."

"Saya tak kira. Kalau Karel nak bagi makan sesuka hati Karel, Karel beranaklah sendiri. Hajar anak saya, bukan anak Karel." Tegas suara Yuna. Marah sungguh barangkali.

"Dah, dah. Hajar pun tak apa-apa, kan? Jangan besarkan hal kecil. Awak Karel, lain kali jangan buat sesuka hati, okay?" Pesan Tuah lembut. Namun cukup untuk membuat Karel terasa. Ah, aku yang terlalu lembik! Bisiknya menyedapkan hati.

"Alright. Sorry." Ujarnya perlahan. Akui kesilapan sendiri.

/

"Beranaklah sendiri!" Karel pegun memikirkan dua patah perkataan itu.

"Hajar anak saya, bukan anak Karel!" Kata-kata itu terngiang di telinga hingga kini.Dan kerana itulah dia berada di hadapan bilik kerja Tuah sekarang.

Pintu bilik kerja Tuah dibuka perlahan. Dia mampir bersama secawan kopi panas di tangannya. Tuah dongak sekejap memandang dia bersama senyuman manis di bibir. Ya, Tuah senyum. Sejak dia berhenti kerja dan jarang tinggalkan rumah, Tuah juga sudah tidak lagi menuduhnya curang atau apa-apa. Karel akui hubungan mereka makin baik, cuma... tidaklah erat seperti dahulu.

"Abang sibuk sangat ke? Karel rasa macam nak cakap sesuatulah." Karel mula membuka bicara. Hatinya sendiri tidak pasti dengan apa yang akan dia lontarkan namun dia terlalu mahu.

"Tak adalah sibuk sangat. Cakap je. Saya boleh dengar."

"Em... abang okay ke... kalau... kalau... hm kalau..."

"Kalau...? Kalau apa?" Lepas tawa kecil Tuah melihat Karel tergagap-gagap. Entah apa yang isterinya itu mahukan.

"Abang janji tak marah eh?" Soal Karel teragak-agak.

"Awak tak cakap lagi mana boleh saya janji tak marah." Tuah berseloroh pula. Menambah gusar di hati Karel.

"Hm tak apalah. Nanti-nantilah Karel cakap." Karel bangkit dari duduk. Serentak itu Tuah tarik tangannya supaya duduk semula.

"Cakaplah awak nak apa. Lagipun saya dah lama tak hadiahkan apa-apa untuk awak. Awak nak handbag baru? Nak makeup? Esok kita keluar ya?"
Karel geleng perlahan. Bukan itu yang dia mahu.

"Okay jadi awak nak apa? Cakap je. Kalau saya mampu bagi, saya bagi. Alright?"

"Karel nak... apa kata kalau... kita ambil... anak angkat?" Akhirnya. Lepas juga soalan yang membelenggu fikirannya belakangan ini.
Terlepas genggaman tangan Tuah pada pergelangan Karel. Tuah kembali tunduk menghadap kerjanya tanpa menjawab soalan Karel. Mengizinkan tidak, melarang pun tidak.

"Abang jangan salah faham. Karel bukan tak sayang Hajar. Tapi Karel teringin... nak rasa ada anak sendiri. Itu pun... kalau abang izinkan. Karel tak paksa." Ujarnya memujuk. Tuah dongak semula memandang dia. Kali ini dengan pandangan yang tidak dapat Karel ungkapkan.

"Abang fikirkanlah dulu. Karel boleh tunggu. Tapi kalau abang dah ada jawapan, abang bagitahu Karel cepat-cepat eh? Karel tak sabar nak tahu jawapan abang." Teruja. Dari kelmarin sudah dia bayangkan rumah itu di masa akan datang riuh dengan suara Hajar dan anak-anaknya.

"Tak payahlah. Hajar pun anak awak jugak." Dua ayat itu mematikan terus keterujaan Karel. Tuah hirup air kopi yang Karel bawakan tadi.

"Awak sayangkan Hajar, kan? Hajar tak cukup ke untuk awak?"

"Cukup... tapi... Hajar bukan anak kandung saya..."

"Apa bezanya dengan anak angkat, sayang? Sama je kan? Mereka pun bukan anak kandung awak."

Karel jeda. Ujaran Tuah menggores hatinya namun sedikit sebanyak dia akui juga apa yang Tuah katakan itu. Betul. Tiada bezanya. Hajar bukan anak kandung dia. Kalau dia ambil anak angkat pun, tiada bezanya. Untuk seketika dia ketawakan dirinya sendiri yang seolah-olah tidak berfikir dengan betul.

Karel senyum nipis. Wajahnya dikawal sehabis baik di hadapan Tuah.

"Betul jugak tu." Karel pura-pura ketawa sambil menggaru kepala yang tidak gatal.

"Tak apalah. Abang sambunglah buat kerja. Karel keluar dulu."

Sekali lagi, pergelangan tangan Karel ditarik Tuah. Kali ini Tuah bangun dari duduknya menghadap sang isteri yang taat padanya.

"Saya cuma mahukan yang terbaik untuk kita sekeluarga." Tuah usap lembut jemari Karel yang berada dalam genggamannya.

Karel angguk perlahan.

"Saya harap sangat awak boleh sayangi Hajar seikhlas hati awak."

Karel angguk.

"Kalau kita ambil anak angkat, kecil pula hati Yuna nanti. Sedangkan dia separuh mati lahirkan Hajar. Awak faham kan?"

Untuk Yuna. Segalanya untuk Yuna. Apa pula tidak faham? Malah dia tersangat faham. Karel angguk lagi. Belakang tangan Tuah ditepuk lembut.

"Karel faham."

... yang hati Yuna adalah hati paling penting untuk abang jaga. Ujarnya menyambung luahan sekadar dalam hati. Tidak tergamak mahu meluahkan. Jika diluah pun, fahamkah Tuah akan dirinya?

Perlahan pegangan Tuah Karel lepaskan bersama senyuman hambar di bibir.

Tak apalah. Kalau hati dia tidak lagi Tuah mahu jaga, suatu hari nanti Tuah pasti akan bebaskannya.

/

Dia dipersalahkan lagi, seperti selalunya semenjak tiga tahun lepas. Sejak lahirnya Siti Hajar, segalanya tidak kena. Karel disuruh untuk menjaga Siti Hajar namun setiap tindakannya dipandang pincang oleh Yuna dan Tuah.

Lutut Hajar yang berdarah luka disapu dengan ubat kuning perlahan-lahan. Takut kalau luka anak itu lebih sakit. Hajar menyeringai dengan air mata yang tidak henti mengalir. Tubuh anak itu yang berada dalam dakapan Yuna dipandang sayu. Karel akui kali ini memang salah dia, kerana dia leka menyiapkan bahan-bahan baking di dapur hingga terlupa untuk memantau Hajar yang bermain trampolin di ruang tamu. Kealpaan dia itu telah menyebabkan kaki kecil Hajar tersepit di celah-celah spring trampolin.

"Sorry, sayang. Sakit sikit je tau." Pujuk Karel cuba menyedapkan hati sendiri. Tiap titisan air mata Hajar membuatkan hatinya juga turut sakit. Kesal dengan diri sendiri.

"Enough with your sorry, Karel. Please make it fast. Hajar sakit ni." Tegas kata-kata Yuna. Memang, semenjak Hajar lahir, Yuna tidak lagi selembut seperti di awal perkahwinan Yuna dan Tuah. Mungkin kerana Karel sendiri yang cuai menjaga Hajar yang telah diamanahkan padanya.

"Saya merayu dekat awak, Karel. Tolong, tolong, dan tolong ikhlaskan hati jaga Hajar. Dia anak awak jugak. Dah banyak kali Hajar cedera sebabkan awak. Saya taknak ada lagi kes macam ni terjadi."

"Sorry. Aku leka dekat dapur tadi."

"Ya, as usual. Ada aje alasan." Tuah pula. Lelaki itu turun dari tingkat atas rumah, sudah bersiap dengan tshirt tersarung di badan.

"Bawa Hajar masuk kereta. I will send her to clinic." Arah Tuah seraya menuju ke pintu utama. Laju Karel mahu mencempung tubuh Hajar namun pandangan mata Tuah menghentikan tindakannya.

"Not you, Karel. Nanti habis luka anak saya awak buat. Yuna, please."

Yuna tarik tubuh Hajar ke dalam dakapannya lalu dibawa pantas masuk ke dalam kereta.

/

"Abang, Karel nak cakap sikit boleh?" Soalnya senafas. Berhati-hati nadanya, gusar mengganggu mood Tuah yang memang tidak berapa elok sejak kejadian Hajar terluka semalam.

"Hm."

Mendengar jawapan Tuah, Karel bawa diri duduk di atas sofa yang menghadap meja kerja suaminya.

"Abang tak busykan? Kalau abang busy, Karel boleh cakap lain kali aje?" Karel cuba menarik perhatian Tuah. Dan dia berjaya apabila Tuah lepaskan pen dari pegangannya dan mula menumpukan perhatian pada Karel.

"Saya tak busy. Awak nak cakap apa?"

"Hmm... Karel nak keluar..." Ucapan Karel terhenti. Tuah kerut kening. Memang selalunya jika Karel mahu keluar, mesti akan meminta izin darinya. Tetapi tidaklah setegang ini suasananya.

"Saya izinkan." Jawab Tuah tanpa mendengar kata-kata penuh Karel lalu menyambung semula kerjanya.

"Aaa... Karel nak keluar... dari rumah ni." Sambung Karel menghabiskan ucapan yang tergantung.
Tap. Pen terlepas dari genggaman. Keluar... dari rumah?

"Maksud Karel apa?"

"Hajar dah besar. Dah tak perlukan Karel untuk jaga dia, kan? Jadi... Karel rasa dah tiba masanya untuk abang lepaskan Karel." Karel yakin. Tiada apa lagi yang dia harapkan dari seisi rumah ini. Lebih lagi dari Tuah.

"Awak jangan merepeklah malam buta ni." Tuah berpura-pura tenang sedangkan jantungnya bergelora hebat. Lepaskan? Cerai?

"Karel serious, bang. Lagi pun... Yuna nak berhenti kerja jugakan? Bolehlah Yuna jaga Hajar sepenuh masa."

Tuah bangun dari duduknya. Karel yang kelihatan sangat tenang dihampirinya dengan perasaan yang berbaur.

"Apa yang tak kena ni, Karel? Jangan main-mainlah!"

"Karel tak main-main. Dulu Yuna kan kerja, patutlah Karel tolong jagakan Hajar. Tapi Yuna pun dah nak berhenti, Karel nak buat apa lagi?"

"What are you, Karel? A babysitter? Hah?" Tanya Tuah kasar dengan suaranya yang meninggi. Sakit hatinya mendengar kata-kata Karel.

"Awak isteri saya! Bukan pengasuh Hajar. Awak ibu Hajar jugak!" Ujar Tuah lagi. Kali ini dengan suara yang sedikit kendur. Timbul senyum senget di bibir Karel. Oh, isteri...

"Karel dah lama tak dengar perkataan tu dari mulut abang. Sampai Karel lupa yang Karel sebenarnya isteri abang." Gumam Karel perlahan. Sekadar mahu meluah bisikan hatinya yang sudah memendam sekian lama.

"Kalau perkara merepek ni yang Karel nak cakap, lupakan aje. Jangan kusutkan kepala saya."

"Karel maksudkan apa yang Karel cakap tadi, bang. Karel harap abang sudi pertimbangkan permintaan Karel, ya?" Pintanya seolah merayu. Sungguh, dia tiada hati lagi mahu setia di sisi Tuah. Rasa yang dia tanggung selama Yuna juga bersuamikan suaminya, sudah cukup membentankan jiwa. Sakit, sangat sakit apabila dia kenangkan yang ketidaksempurnaan dia tidak mampu Tuah telan rapi.

"Takkanlah sebab saya marah awak semalam, awak nak buat perangai macam ni? Please, Karel. I sometimes can't even understand you... yang makin lama makin tak memahami saya. You used to be so understanding. What is wrong?"

Karel ukir senyum tipis yang kosong tidak berperisa. Apa lagi yang tidak dia faham? Sedangkan dia sangat mencuba untuk memahami. Dan permintaannya ini juga, salah satu sebabnya bagi membiarkan Tuah menikmati hidup bahagia dengan isterinya yang sempurna. Siapa lagi jika bukan Yuna, bukan?

"You used to." Bisik Karel perlahan namun sampai juga ke pendengaran Tuah.

"What?"

Karel angkat muka, membalas pandangan Tuah yang entah bagaimana mahu dia deskripsikan.

"You used to love me. Apa guna Karel masih di sini kalau hati abang hanya untuk Yuna?"

"Jadi, awak benci Yuna? Awak tak sayang Hajar?" Tuah menyoal. Melalut ke topik bukan-bukan.

"Bukan. Jujur, tiada pun rasa benci Karel pada Yuna dan anak abang. Malah Hajar tu... Karel sayang sangat dia. Tapi Karel pun manusia biasa. Karel juga mahu difahami setelah Karel memahami. Karel turut mahu disayangi setelah Karel menyayangi. Abang tak perlu tipu diri sendiri. Karel pernah rasa bagaimana bahagianya dicintai suami Karel sendiri. Dan apa yang Karel rasakan hari ini, bukan cinta. Bukan sayang. Cuma sekadar abang yang..."

"Enough."

"... takut rasa kekurangan kalau..."

"Enough!"

"... kalau Karel tiada lagi di sisi abang."

"I said enough, Karel!" Tuah tegas semerta mematikan kata-kata Karel. Matanya tunak memandang isteri di hadapannya. Luahan hati Karel, sedang dia telan di minda. Wajah Karel yang tenang masih dihiasi dengan senyuman. Biarpun sepasang mata itu terlalu bening diselubungi muram.

"Don't. Jangan teruskan." Tuah mengatur langkah mendekati Karel yang tertib di sofa. Punggungnya dilabuhkan di sebelah Karel seraya jemari yang menyimpul sedari tadi digapai dan digenggam erat.

Ada kehibaan menyusup masuk ke hati wanita itu. Setelah sekian lama tiada sentuhan yang Tuah beri padanya, lalu kerana itu dengan genggaman seperti ini juga bisa buatkan jantungnya bekerja berlebihan.

"A... abang..."

"... minta maaf."

"I didn't mean to hurt you. Abang masih sayangkan awak. Tolonglah jangan minta untuk berpisah. Please don't." Jemari Karel dibawa ke bibir. Dikucup lembut belakang tangan sang isteri. Tangan yang sebelum-sebelum ini selalu membelai dia. Namun belaian itu tidak lagi hinggap pada tubuhnya setelah dia sendiri yang leka dengan sutera hingga terjurangkan dirinya dengan permata.

"Sebenarnya, Karel dah nampak lama. Karel nampak yang abang dah tak ada perasaan pada Karel. Kan Karel dah cakap, abang tak perlu tipu diri sendiri. Karel okay." Karel balas genggaman tangan Tuah. Sejuk tiap hujung jemari lelaki itu.

"Karel... kalau Yuna buatkan awak tak selesa, abang boleh bawa Yuna pindah rumah. Kita mulakan balik hubungan kita, sayang?"

"Bukan sebab Yuna, bang. Tapi sebab abang. Karel tak suka tengok abang paksa diri untuk pura-pura bahagia bila berhadapan dengan Karel. Karel sedih bila abang tak boleh jadi diri abang yang sebenar bila bersama Karel. You don't need to do anything, you don't have to move out. Apa yang abang perlu lakukan cuma... lepaskan Karel. Karel minta maaf sangat-sangat, tapi boleh tak abang ceraikan Karel?" Kepalanya tertunduk. Tuhan, hatinya perit. Namun sejuta kesyukuran dia panjatkan dek keberanian yang dia kumpul beberapa bulan ini, lepas juga dia minta perpisahan dari Tuah.

Setitis air mata jatuh di tangan Tuah.

"Sorry." Karel gelak perlahan sambil tangannya menarik baju mengelap tangan Tuah yang basah.
Ya, dia gelak. Ketawakan diri sendiri yang hipokrit. Kononnya tidak suka melihat Tuah berpura-pura sedangkan dia juga sedang berpura-pura kuat, walau dalam hatinya sudah berkecai menjadi pasiran.

"Karel... bukan senang. Awak lupa ke kenangan kita dulu-dulu?" Tuah lempar pancingnya yang terakhir. Hanya kenangan yang tinggal untuk dia pasung Karel kekal bersamanya.

"Dulu-dulu dah lepas, abang. Mungkin dah tertulis iringan langkah kita berpecah di persimpangan ni."

Lama Tuah menyepi. Seraut wajah Karel ditenung lama. Tiada walau sekelumit kegusaran di wajah itu. Benar-benar bersungguh mahukan perpisahan.

"Awak yakin, Karel?"

Karel angguk kepala.

"Karel yakin. Yuna lebih layak untuk abang." Air mata laju menuruni pipi tidak lagi dia endahkan. Sungguh hatinya bagai mahu pecah saat Tuah soalkan keyakinan dia. Kerana jauh di sudut hati kecilnya, Karel harapkan yang Tuah akan memilih dia dan bukannya Yuna. Tetapi, sudah takdirnya jadi orang ketiga. Ya, orang ketiga bukanlah individu yang hadir kemudian tetapi orang yang tidak diperlukan antara dua individu.

Ini permintaan dia. Dia akan cuba terima dengan hati terbuka. Kerana Karel percaya, lambat laun Tuhan akan perkenankan bahagia untuknya.

/

"Lee, macam biasa." Karel gapai sebuah novel dari rak buku sebelum menuju ke port biasa dia lepak di Gerai Read & Drink. Seberapa ketika, Ikli tiba dengan segelas latte yang istimewa untuknya. Latte yang dibancuh bersama karamel.

"Nah."

Sejurus gelas bertukar tangan, terus dicicip sopan.

"Wow, always perfect. Aku rasa kau layak dapat award best barista of the town."

Ikli tergelak menanggap pujian Karel yang melambung untuknya. Biasalah, Karel kalau sembang, sekawan gajah boleh terbang.

"So dah ready ke?" Wajah Ikli dipandang sambil latte dihirup lagi. Ikli dilihatnya menggaru belakang kepala.

"Takut." Jawabnya sepatah. Terus Karel ketawa sakan mendengar jawapan Ikli itu.

"Bodo ah! Janganlah gelakkan aku!" Ikli tarik muka masam. Dah agak dah. Karel suka gelakkan dia bila dia tunjuk sisi dia yang ini-- yang gusar, takut, tidak yakin dan seangkatan dengannya.

"Ala alright, alright. Sorry. Apa kau nak takutkan? Preparation dah siapkan?"

"Dah. Tapi aku takut... What if dia pun..." Ikli berhenti. Tidak sampai hati mahu meneruskan.

"What if dia tak boleh terima kekurangan kau macam Tuah tak boleh terima kekurangan aku?" Karel tolong sambung soalan Ikli. Ikli angguk perlahan, serba salah kalau Karel berkecil hati dengan soalannya.

"You are perfect, Lee. Siapa yang mampu untuk tidak terima kau?"

"Bagi aku kau pun sempurna, Karel. But still, Tuah tak nampak kesempurnaan kau."

"Kita lain kes. Lagipun, hati manusia tak sama. Just pray for the best and insyaallah Allah will grant you the best. No worries, alright?"

"Hm. How can I not love you?" Ikli tayang muka manja.

"Euw, Ikli please! Not that face lah!"

Kali ini giliran Ikli pula ketawakan Karel. Dia tahu Karel sangat alergik dengan 'muka manja' yang dia buat.

/

Dari jauh Karel perhatikan Ikli yang cantik bak bidadari di atas pelamin nan indah. Tersenyum lebar semedang. Amboi!

Kebahagiaan yang terpancar di wajah Ikli itu marak seperti merahnya inai di jemari Ikli. Dan di jari manis Ikli tersarungnya satu betuk cincin emas yang bersinar. Karel tunduk memandang jari manis sendiri lalu tersenyum hambar melihat kekosongan di situ.

Keluh halus dilepaskan perlahan. Pantas segala kenangan lalu ditepis sekuat yang mampu. Untuk seketika, matanya bertembung dengan mata Ikli yang memerhatinya dari atas pelamin bersama senyuman manis.

Sahabat, moga-moga bahagiamu ini seperti bulatan yang tidak berpenghujung.

/

Bohong.

"Cukup dengan melihat awak bahagia, mampu buat saya bahagia." Bohong!

Sudah-sudahlah menipu diri sendiri. Manalah bahagia yang mampu kau kecap pada tika kau lemas dibadai cemburu? Bahagia sejenis apa yang kau dapat dengan ketidakrelaan yang memburu?

Cukup-cukuplah berbohong. Untuk kali ini sahaja, cubalah cari kebahagiaan sesebenar untuk diri kita sendiri. Jika bukan kita hargai kita, tiadakan sudi pun sesiapa.

- yang serba kekurangan

Monday, 11 December 2017

KARAMEL LATTE - 3 (cerpen)

Lelaki itu muncul lagi. Mungkin mahu menuntut duit repair keretanya yang Karel langgar hari itu. Harapnya cuma mahu menuntut duit itu sahaja dan tiada niat mahu bicarakan tentang hal semalam.

"Berapa?" Soal Karel namun wajah Yasir tidak dipandang langsung. Report pesakit ditulis laju. Tulisan cakar ayam tidak dipeduli. Nanti nak serah report pada rakan shift seterusnya, nasib-nasiblah kalau mereka tak faham tulisannya itu.

"Apa yang berapa?"

"Duit repair kereta awak. Cepat. Saya ada kerja lagi ni."

"Oh. Saya tak datang untuk duit tu."

"Habis? Nak cakap pasal apa? Kalau sakit, pergi klinik dulu baru admit masuk wad." Report pesakit hampir siap. Harnani sudah jeling-jeling. Terpikat agaknya dengan adik isteri kedua suaminya ini.

"Saya nak cakap pasal semalam." Serentak itu pen di tangan Karel terlepas. Tepat-tepat pada waktu dia selesai menulis report.

"Saya tak ada apa nak cakap." Karel beredar dari kaunter pertanyaan wad, menuju ke lorong bilik pesakit. Yasir mengekor.

"Saya nak minta maaf."

"No need to. Bukan hal awak." Langkahnya tetap laju.

"Saya rasa bersalah. Kakak saya bersalah." Kaki Karel terhenti. Badannya berpaling laju menghadap Yasir.

"Jadi? Awak nak saya report polis ke sebab kakak awak rampas laki saya?"

"Bukan macam tu. Karel, saya tak tahu nak cakap apa. Cuma saya nak minta maaf sahaja. Saya rasa tak sedap hati tengok awak macam ni dan puncanya adalah kakak saya sendiri."

"Oh..." Karel anggukkan kepalanya bersama senyuman-tidak-percaya di bibir.

"So does that means I gained your empathy now? I don't need any. Sekarang ni awak balik je. Tak perlu tunjuk prihatin atau rasa bersalah. Sebab awak tak terlibat pun dalam hal ni. Saya masih bernafas, dan saya okay." Karel berpaling semula, meneruskan langkah ke bilik 305.

"Kenapa ha perempuan ni complicated sangat?!" Tanya Yasir separa menjerit. Untuk sekali lagi, tingkah Karel terhenti.

"Luahkan je apa yang ada dalam hati tu. We men don't usually understand what you girls feel. Berterus terang, that will really help. Kalau diam je macam ni, pendam sorang-sorang, besar kemungkinan awak boleh hilang suami awak." Bebelnya panjang lebar. Kalau dilihat betul-betul, dia memang menyebelahi Karel. Kerana dari awal lagi dia tidak suka dengan perkahwinan kakaknya. Dia tidak suka Yuna jadi perampas.

"Saya dah hilang Tuah dari awal dia kahwin dengan kakak awak." Tombol pintu bilik 305 dipulas lalu dia bolosi bilik itu secepat mungkin. Sekarang ini waktu kerjanya, bukan waktu untuk dia fikirkan masalah peribadi. Lama dia melayan pesakit di dalam bilik itu. Dibualkan apa-apa yang terlintas di fikirannya dek tidak mahu berhadapan lagi dengan Yasir.

Sejam juga dia berkurung dalam bilik 305 itu. Dengan teragak-agak dia pulas tombol dan sebaik pintu terbuka, Yasir masih setia bersandar di dinding tepi bilik 305.

"Kalau tak sudi terima empati saya, sekurangnya dengarlah penjelasan saya dulu. Saya tahu apa yang Tuah salah faham. Awak tak nak tahu ke?" Yasir bijak lempar umpan. Pasti terpancing juga ni, telahnya yakin.

"Saya tengah kerja."

"Tak apa, saya boleh tunggu." Yasir menukar posisi, berdiri tegak. Tinggi melebihi Karel yang rendah.

"Tang mana lagi yang awak tak faham eh, Encik Yasir?"

"Saya tak faham awak. Awak rela ke Yuna conquere Tuah sepenuhnya?"

"Masya-Allah. You are really something. Apa yang awak terdesak sangat nak saya tahu?" Kedua-dua tangan diseluk masuk ke poket baju uniform. Sabarnya makin menipis diasak oleh Yasir.

"Talk here?"

"Then where?!" Suara Karel makin meninggi. Yasir sengih menayang gigi.

"Alright, sini je. Okay sebenarnya, semalam saya datang rumah awak. Untuk minta ganti rugi repair kereta saya dan sejujurnya, saya nak tahu keadaan awak. Tapi Tuah salah faham, dia fikir..."

/

"Lamanya tak datang lawat kakak?" Yasir sengih sahaja mendengar soalan kakaknya. Belakangan ini dia sibuk membuat overtime (OT) di kilangnya memandangkan kalau duduk di rumah pun, dia sekadar melepak tidak berbuat apa. Jadi, dari membuang masa baik lagi jika dia manfaatkan masa yang ada. Penat itu penatlah, asalkan duit masuk. Itu lebih memuaskan.

"Tak nak ganggu orang tengah hangat bercinta." Jawabnya berlelucon seraya melirik ke arah abang iparnya. Tuah dari tadi tidak bersuara apa-apa waima menyambut kehadirannya. Mungkin masih marah tentang kejadian tempoh hari. Tentang dia mahu menyuap Karel daging salai di kafe hospital itu.

Tahu pulak cemburu, tapi masih curang. Hatinya merungut geram.

"Apa pulak hangatnya? Padahal awak tu yang sibuk dengan life awak aje." Omel Yuna. Yasir ketawa sahaja.

"Sebenarnya Yasir datang nak tahu keadaan Karel." Ujarnya berterus terang. Melawat kakaknya itu perkara kedua. Yang pertamanya, dia mahu tahu keadaan Karel. Bukan apa, simpatinya meluah-luah untuk perempuan itu.
Automatik pandangan Tuah menikam wajah Yasir. Ada api kemarahan dalam matanya.

"Kenapa dengan bini aku?" Soal Tuah dingin.

"Dia kan accident kelmarin. Itu yang aku datang nak tengok dia. Lagi pun, aku nak.."

"Nak apa lagi?! Nak bini aku tu?!" Tuah bingkas berdiri dengan mata yang masih garang memandang Yasir. Yasir sedikit terkejut tetapi dia bijak mengawal emosinya. Lantas dia ketawa kecil.

"Mana kau tahu Karel accident? Dia bagitahu kau? Jadi maknanya korang memang selalu contact lah? Hah? Kau tahu ke tak dia tu isteri aku?!"

Yuna kalut melihat Tuah begitu. "Abang... jangan menuduh bukan-bukan. Dengar dulu Yasir nak cakap apa."

"Dekat hospital hari tu kau main suap-suap dengan dia. Belakang aku entah apa lagi yang korang buat?!"

/

"By that time, awak sampai. Dan apa yang terjadi malam tu, itu adalah kronologi dari salah faham Tuah. In fact I came there just to know your condition."

Karel gamam. Tersandar di dinding. Tidak sangka yang Tuah sanggup fikir yang dia akan menduakan Tuah seperti apa yang Tuah lakukan padanya.

"Saya bukan isteri macam itu." Bisiknya perlahan tetapi cukup untuk Yasir dengari.

"Kalau kau dah tak suka dekat aku, cakap je. Aku pun tak teringin nak jadi suami kepada isteri nusyuz macam kau."

"Curang belakang aku."

"Buat apa kau balik lagi?"

"Pergilah, Karel. Aku tak nak tengok muka kau."
Satu, satu. Setiapnya terngiang-ngiang di telinganya. Dan setiap satu itu menghiris luka baru di hatinya.

Am I that low in your eyes, abang?

Air matanya mengalir lagi. Yasir yang memerhati tidak dipedulikan sama sekali. Sebegitu rendah dia di mata suaminya sendiri? Memikirkan itu, tangisannya kian lebat.

/

"Aku tahu kau marah aku, bang. Tapi kau tak nak kecewakan Yuna sebab maki hamun aku, kau marahkan pulak Karel. Padahal kau tahu dia tak salah. Kan?"

"Kau tak boleh macam ni, bang. Karel tu bini kau. Sebelum kau jumpa Yuna, bini kau tu lah yang jaga makan pakai kau. Jaga sihat sakit kau. Bila kau dapat Yuna, lagi-lagi Yuna dah mengandung... terus kau ketepikan dia. Kau lupa ke segala bahagia yang Karel dah bagi? Aku tahu kau tak kejam macam ni, bang. Kesian dia."

"Yang kau bela sangat dia kenapa? Kau suka dia? Kau nak dia?"

"Mesti kau tak tahu sesuatu kan?" Yasir ukir senyum tipis. Teringat semula kisah dua tahun lalu.

"Apa?"

"Dua tahun lepas, aku pernah accident. Kena langgar lori tapi nasib baiklah aku tak mati. Sebab apa, kau tahu, bang? Sebab Karel lah. Allah utuskan Karel untuk selamatkan aku waktu tu. Punyalah baik Karel, tetap tak mampu tawan hati kau kan?" Yasir diam sejenak. Menelan liur lalu menyambung 'tazkirahnya'.

"Aku suka dia. Sebab dia baik. Setahun jugak aku perhati dia tanpa dia sedar, dan aku dapat tahu dia dah kahwin. And for the sake of her happiness, I stop doing that stalking thing. Aku nak dia bahagia, dan aku tak nak aku pulak menderita. Tup-tup, setahun lepasnya, Yuna pulak decide nak kahwin dengan kau. Entah macam mana korang berdua kenal pun aku tak tahu. Aku tak pernah setuju dengan perkahwinan korang ni. Sebab aku tahu akan ada hati yang terluka."

Segala kata Yasir menusuk terus masuk ke jantung. Kejamkah dia? Dia cuma mahu bahagia...

"Kalau pun kau nak bahagia, kau tak boleh selfish macam ni." Ujar Yasir tiba-tiba seolah-olah faham apa yang ada dalam hati Tuah.

"Aku bukan selfish. Aku cuma nak yang terbaik untuk kami sekeluarga. Dan Karel... Karel tak boleh pregnant. Masa doktor bagitahu yang dia tak boleh pregnant, aku kecewa sangat. Perasaan aku waktu tu... entah! Aku rasa terkilan."

"Jadi kau fikir apa perasaan Karel?" Pintas Yasir laju. Marah juga dia mendengar luahan hati abang iparnya itu.

"Ilmu aku pasal rumah tangga ni tak adalah hebat pun. Tapi aku tahu hargai orang yang berkorban macam-macam untuk aku."

"Kalau kau tak nak kehilangan Karel, hargailah dia."

Tuah terdiam sejenak. Tubuh Yasir yang meninggalkannya diekori dengan pandangan. Kehilangan Karel? Sanggupkah dia?

/

Telefonnya kembali senyap. Dari tadi bernyanyi menandakan ada panggilan yang masuk. Berpuluh kali bernyanyi, kesemuanya dari orang yang sama.

Tuah.

Bukan dia mahu menghukum suaminya sendiri, tetapi dia juga seorang manusia biasa. Ada dendam, ada perasaan, ada hati... tawarnya rasa apabila mengetahui Tuah menganggap dirinya begitu hina sedangkan kesetiaannya tidak pernah dia gores seperti apa yang Tuah lakukan terhadap dia.

Karel... tidak mampu telan apa-apa pemberian Tuah lagi.

Dari saat Tuah tidak mampu terima kekurangan Karel sebagai seorang isteri, hingga ke saat Tuah duakan dia dengan kekurangannya dijadikan alasan punca... lalu Tuah ragukan pula kesetiaan dia... segalanya terlalu melukakan.

/

Karel memerhati dari dalam kereta yang diparkir sedikit jauh dari rumah.

Dua minggu Karel tidak jejak kaki di rumah itu. Rumah yang dahulunya milik Tuah dan dia. Tetapi hari ini, rumah itu lebih kelihatan seperti milik Tuah dan madunya. Lebih membuatkannya terasa jauh apabila melihat adegan romantis di hadapan matanya sekarang ini.

Tuah, dan Yuna. Bersuapan di gazebo. Bergelak ketawa.

"Bahagianya abang tanpa Karel." Rintihnya sayu. Kalau ikutkan hati, ingin sahaja dia mengangkat kaki dan hentikan seksaan di hati dengan melihat kebahagiaan Tuah. Tetapi rasanya sudah cukuplah dia lari. Rasanya mulai saat ini dia perlu keraskan hati dan hadap segalanya. Kalau Tuah rasa tidak lagi perlukan dia, Karel percaya yang lambat atau cepat Tuah pasti akan pulangkan dia pada ibu bapanya semula.

Perlahan-lahan Karel keluar juga dari kereta lalu mengatur langkah menghampiri pagar rumah. Namun tubuh disembunyikan di balik dinding pagar dek ketidaksediaan mahu berhadapan dengan suaminya.

"Karel? Lama tak nampak you? Pergi kursus ke?" Sapaan jiran rumah sebelah memeranjatkan Karel.

"I feel a bit weird ah bila pagi-pagi I dah tak dengar bunyi enjin kereta you pergi kerja. Rindu nak dengar bunyi enjin kereta you yang dah macam alarm I tau." Lelaki Cina itu bersuara lagi. Kali ini dengan sengihan lebar di bibirnya hingga makin sepet pasang matanya yang sudah sedia sepet.

"I dah balik ni nanti you dah tak rindu dah lah. I buat bising kang jangan you pulak mengamuk!"
"Hahaha! Mana I pernah mengamuk lah. Dah lepas rindu maa." Si apek itu ketawa kecil sebelum meminta diri.

"I nak keluar dating ni. I pergi dulu, okay?"

"Alright. Drive safe." Pesan Karel sekadar berbasa basi. Darren itu jirannya sejak awal dia dan Tuah berpindah ke rumah ini beberapa tahun lepas. Rapat itu tidaklah, tetapi kalau setakat berbual kosong ringkas-ringkas seperti itu bolehlah.
Kereta Darren diiringi dengan pandangannya sahaja. Sehilangnya kereta Darren dari pandangan, Karel cegat di posisi yang sama. Masih berkira-kira mahu masuk atau tidak biarpun hatinya kuat mahu hadapi sahaja hubungannya dengan Tuah yang tidak tahu apa statusnya.

"Mesra sangat? Dah berfikir nak cari pengganti saya ke?" Sapa Tuah sebaik Karel berpaling semula. Karel tergamam sedikit. Tidak menduga Tuah akan perasan dengan kehadirannya di situ. Dia sudah menyorok sebaik mungkin di sebalik tiang pagar rumah.

"Lama tak balik? Tidur mana? Rumah lelaki mana yang awak..."

"Assalamualaikum." Laju Karel memberi salam untuk memotong kata-kata Tuah yang rasanya akan menoreh luka lagi di hatinya. Pagar kecil dibuka lalu dia masuk menghampiri Tuah. Tangan Tuah disalam dan dicium. Tindakannya laju, tidak mahu memberi peluang pada Tuah melontarkan tuduhan-tuduhan tidak berasas.

"Maaf Karel keluar rumah tanpa izin abang. Hm... Ikli... dia kirim salam dekat abang dan Yuna. Karel masuk dulu ya." Tuah yang terdiam tanpa diberi peluang membuka mulut sedikit terpinga. Karel bercakap dengannya seolah tiada apa yang terjadi antara mereka. Biarpun bicara isteri pertamanya itu kedengaran sedikit dingin di telinga.

"Tunggu saya dekat bilik. Kita kena bincang." Arah Tuah tegas pada Karel yang sudah hampir memasuki rumah.

/

Tiada gelaran diri mesra lelaki itu untuknya. Bukan lagi 'abang', malah diganti dengan 'saya'. Aneh terdengar di telinganya. Namun cukup baiklah jika dibanding dengan dua minggu lalu, 'kau' dan 'aku'... yang cukup melukakan.

Pintu bilik yang dibuka dari luar membuatkan Karel bertambah berdebar. Bincang? Perbincangan apakah yang akan Tuah adakan? Untuk lepaskan dia? Atau untuk membincangkan cara terbaik untuk beritahu ibu dan ayahnya yang mereka akan berpisah?

"Saya nak awak berhenti kerja." Ujarnya sebaris sebaik wajah Karel menyapa matanya. Menyanggah segala persoalan di benak Karel. Badan Karel mula tegak.

"Kenapa pulak Karel kena berhenti? Mana Karel ada duit nak bayar duit kereta kalau Karel tak kerja?"

"Saya boleh bayarkan."

"Tapi Karel nak bayar kereta tu sendiri. Lagipun tanggungan abang bukannya Karel seorang sahaja sekarang ni. Yuna pun tanggungan abang. Anak dalam perut Yuna tu pun... banyak nak pakai duit, bang." Sejujurnya, hatinya bergetar sayu berbicara soal anak itu. Yuna berjaya beri Tuah kebahagiaan sebenar seorang lelaki, dan hal itu lebih membuatkan Karel merasa jauh.

"Saya mampu. Berhenti je. Kena bayar pun tak apa, saya boleh bayarkan." Tuah masih selamba dan kekal dengan keputusannya.

"Abang... Karel tak nak hilang kerjaya yang Karel sayang. Please, bang."

"Kenapa berat sangat nak berhenti, hah?! Ada apa dekat hospital tu?! Awak ada skandal dengan doktor pulak ke? Sayang nak tinggalkan doktor tu?" Tembak Tuah bertubi-tubi dengan matanya menjegil memandang Karel yang menunduk seperti orang bersalah.

Karel tarik nafas dalam lalu lepaskan perlahan. Kepalanya didongakkan. Anak mata Tuah diselongkar dalam-dalam. Mencari secebis kepercayaan Tuah pada dirinya.

"Cukup-cukuplah abang nilai Karel dengan kehinaan. Kenapa kesetiaan Karel pula yang abang ragukan sedangkan yang buat perkahwinan kita retak adalah abang sendiri?" Soalan Karel mematikan bicara Tuah. Dadanya makin berombak. Rasa terpukul dengan soalan si isteri. Jadi, adakah Karel mahu menuduh dia curang pula? Curang, dan berpoligami itu dua perkara berbeza!

"Karel nak terus kerja. Boleh ya, bang?" Karel cuba memujuk.

"Tak. Keputusan saya muktamad. Berhenti!"

"Tapi kenapa? Kenapa Karel kena berhenti?"

"Yuna dah nak sampai due date. Dia kena ada orang pantau. Siapa lagi yang boleh jaga makan pakai dia? Awak kan nurse. Awak boleh jaga dia. Nanti saya bayarlah awak setiap bulan."

"Sebab Yuna...?" Karel hampir terkedu. Melihat Tuah yang yakin anggukkan kepalanya, buatkan dia sedar betapa pentingnya Yuna dalam hidup suaminya.

"Apa faedah yang Karel boleh dapat kalau Karel berhenti kerja?" Soalnya berat.

"Keberkatan seorang suami. Kalau awak nak cium bau syurga, dengarlah cakap saya." Jawab Tuah lancar kemudian keluar dari bilik tinggalkan dia seorang diri.

Keberkatan... ya, keberkatan. Selagi Tuah itu suaminya, keberkatan lelaki itulah yang penting untuk dunia akhiratnya.

Tak apa, Karel. Telanlah selagi mampu. Sabarlah, Karel. Entah untuk kali ke berapa, Karel memesan yang sama pada diri sendiri.

Sunday, 10 December 2017

KARAMEL LATTE - 2 (cerpen)

Kedua-dua tupperware berisi nasi lemak sudah selamat dihantar pada rakan-rakannya di hospital dan juga pada Ikli. Ikli ada tanya tadi,

"Apa mimpi kau hantar bekal untuk aku?"
Dan jawapannya, "saja. Buat amal jariah." Berseloroh sahaja. Itu dirinya yang sebenar ketika bersama dengan Ikli. Dia tidak pernah tunjukkan kesedihannya pada Ikli. Cuma, dia tidak yakin pada hari mendatang... dia takut dia datang menangis terduduk mengadu nasib pada sahabatnya itu.

Karel keluh nafas halus. Hatinya belakangan ini langsung tidak berehat tenang. Fikirannya menerawang jauh memikirkan segalanya. Perihal Tuah. Perihal Yuna. Anak yang bakal dilahirkan tidak lama lagi. Dan juga tentang dia sendiri... entah bagaimana takdirnya pada masa akan datang.

Ligat dia memikir nasib, tiba-tiba...

BAM!

Kakinya kuat memijak brek. Kereta berhenti selepas beberapa ketika. Seorang lelaki keluar dari kereta yang dilanggarnya dengan wajah bengis. Ya Allah, cuaknya hanya Allah yang tahu.

"Keluar!" Tingkap keretanya diketuk kuat bertubi-tubi oleh lelaki itu. Kemudian lelaki itu berundur memberi ruang Karel keluar dari kereta.

"Keluar cepat!"

Karel teragak-agak. Rasa hendak menangis di situ jugak! Perlahan dia buka pintu kereta namun lelaki tadi tarik pintu keretanya kasar. Gayanya, persis seorang gangster.

"Sorry, encik. Salah saya." Karel bersuara perlahan, cepat mengaku silapnya. Kepalanya juga menunduk sahaja. Tidak berani mahu membalas pandang tuan kereta yang dilanggarnya tadi. Lagi pula jalan raya sudah menjadi padat dengan kereta dek insiden yang berpunca dari dia. Malu hendak tayang muka.

"Memanglah salah kau. Ni siapa yang nak tanggung repair kereta aku ni?"

"Saya. Saya akan tanggung semua. Cuma... habis sini je, boleh tak encik? Kalau boleh, saya tak nak turun naik mahkamah."

Lelaki itu pandang Karel atas bawah lalu gelengkan kepalanya. Dia pasti Karel mengelamun tadi sampaikan tidak perasan lampu isyarat bertukar merah. Dia sangat pasti. Kerana di kafe hospital kelmarin, Karel juga sedang mengelamun. Di majlis perkahwinan Tuah dan kakaknya juga Karel banyak termenung.

Ya, nasib baik kereta yang Karel langgar itu kereta dia. Yasir. Kalau kereta orang lain, entah macam mana Karel dimaki. Itu pun Yasir tidak rasa yang Karel masih ingat akan dia.

"Pergilah balik dulu. Nanti kereta dah sudah repair, aku call kau. So, bak nombor telefon."

"Er... phone saya... rosak."

Yasir tenung Karel yang tidak tentu arah. Tergaru sana-sini dengan jemari yang jelas bergetar cemas.

"Baliklah." Ujarnya sepatah. Tidak sampai hati mahu membebankan lagi perempuan itu. Dia tahu dari awal lagi Karel itu isteri pertama abang iparnya. Kakaknya juga tahu Tuah sudah beristeri namun Yuna tetap mahu bersama dengan Tuah.
Mata Karel bercahaya mendengar ujaran Yasir.

"Betul ke ni, encik? Nanti macam mana encik nak tuntut duit repair kereta?"

Yasir senyum senget. "Tahulah aku nak cari kau kat mana." Yasir beredar ke keretanya. Terkebil-kebil Karel menanggap maksud kata-kata lelaki itu. Apa maknanya?

/

"Bang, jom makan." Pelawa Yuna. Hari ini, dia tolong Karel sediakan juadah tengah hari. Teringin juga untuk berkenalan rapat dengan madunya yang pendiam itu. Dan, kalau boleh dia mahu berkawan dengan Karel sebagai kata maaf kerana meminta kongsi cinta dan perhatian Tuah.
Tuah pandang jam di dinding. Baru pukul 12 tengah hari.

"Awal lagilah, yang. Nanti perut abang meragam makan tak ikut masa." Tuah beralasan sebenarnya. Dia tahu beberapa hari belakangan ini Karel begitu gigih memasak untuknya. Sekarang pun perempuan itu agaknya sedang bersilat di dapur. Bukan dia tidak kasihan dengan Karel. Tetapi... dia jadi tawar hati dengan isterinya itu. Wajar ke seorang isteri berlaku curang hanya kerana suaminya berkahwin dua?

Yuna menghampiri Tuah lalu duduk di tempat letak tangan sofa yang Tuah duduki.

"Abang. Jomlah... Karel penat masak tu. Kejap lagi dia nak pergi kerja. Nanti kalau perut abang meragam, biar Yuna sapu minyak panas kat perut abang. Okay?" Yuna berbisik dekat di telinga Tuah. Risau kalau Karel terdengar, kecil hati pula perempuan itu mengetahui Tuah beralasan mahu memakan air tangan isteri pertamanya.

Tuah dongak pandang Yuna di sisi lantas dagu tajam Yuna dicuit mesra.

"Pandainya isteri abang pujuk. Okaylah. Jom." Tuah tersenyum sebelum matanya bertembung dengan mata Karel yang memerhati di dapur.

/

Sempurna.

Ya, Tuah dan Yuna cukup sempurna di matanya. Senyuman yang terukir di bibir Tuah untuk Yuna itu, dahulunya adalah makanan matanya hari-hari. Ya Allah, perkongsian tidak pernah menyenangkan. Mengapa?

Tidak lama matanya membalas pandang mata Tuah. Sekejap sahaja sebelum dia tunduk melarikan matanya dan letak sejag air sirap sejuk yang dipegang dari tadi di atas meja makan. Melihatkan Yuna dan Tuah yang melangkah seiringan ke meja makan membuatnya berdebar. Kencang. Tangannya yang menggigil menahan perasaan digenggam erat.

Rasanya... dia tidak kuat untuk makan semeja dengan pasangan sejoli ini. Lantas tangan yang basah dilap pada kain yang tergantung di balik gerbang dapur.

"Abang dengan Yuna makanlah. Karel nak pergi siap-siap. Takut lambat pulak masuk kerja." Laju Karel melangkah meninggalkan meja makan. Tidak sempat pun Yuna mahu menghalang. Tuah selamba duduk menceduk nasi dan lauk ke dalam pinggannya.

/

Karel tersandar di kerusi kereta untuk melepaskan lelahnya bekerja seharian. Hari ini sahaja, dua pesakit yang berada bawah seliaannya mati. Kedua-duanya mati mengejut. Gila betul. Sepanjang empat tahun bekerja sebagai staf nurse, ini kali pertama kes sebegini terjadi. Tidak menang tangan dia tadi. Hendak uruskan prosedur mayat yang ini, dan mayat yang itu. Kalut.

Keretanya diparking di luar rumah sahaja. Di dalam perkarangan rumah ada satu kereta asing yang terparkir di situ. Mungkin tetamu Yuna. Telahnya.

Dia keluar dari kereta. Melangkah masuk ke perkarangan rumah dengan perlahan untuk mengambil angin pula. Baru dia hendak melangkah ke ruang landscape tepi rumah, Tuah tercegat di muka pintu utama. Ketat wajahnya.
Karel kekok. Nak senyum ke? Soalnya lantas mengukir senyuman janggal untuk Tuah. Selalunya Tuah menyambutnya dengan senyuman manis. Tetapi malam ini, tidak.

"Buat apa kau balik lagi?" Soal Tuah bersahaja seraya menghampiri Karel yang terpinga-pinga.

"Tu boyfriend kau ada kat dalam tu. Mungkin nak bawa kau balik rumah dia." Kata-kata Tuah menyentap tangkai jantungnya. Boyfriend? Siapa? Dan... kenapa pula suaminya ni?

"Kalau kau dah tak suka dekat aku, cakap je. Aku pun tak teringin nak jadi suami kepada isteri nusyuz macam kau. Curang belakang aku. Isteri jenis apa ha kau ni?"

Wajah Tuah serius. Karel tergamam. Kenapa ni? Dia tidak rasa Tuah sedang bergurau atau pun sedang membuat prank padanya.

"Aku boleh ceraikan ka..."

"Abang! Apa ni?" Yuna terkedek-kedek membawa perut boyotnya mendapatkan Tuah. Lengan Tuah dipegang menggunakan kedua-dua tangan.

"Janganlah macam ni. Abang lupa ke janji abang pada Yuna? Abang janji abang tak akan ceraikan Karel, kan?"

Soalan Yuna itu menarik perhatian Karel. Berjanji untuk tidak ceraikan dia? Jadi, kalau tiada janji pada Yuna itu, adakah dia dibuang sahaja?

Di belakang Yuna muncul satu wajah. Karel kenal lelaki itu. Lelaki yang dia langgar kelmarin. Macam mana lelaki itu tahu dia tinggal di sini? Sekejap... dia... dia ke yang Tuah katakan boyfriend itu? Siapa lelaki itu pun Karel tidak kenal!

"Pergilah, Karel. Aku tak nak tengok muka kau." Tuah berpaling darinya. Menyentap jantungnya yang sudah sedia rapuh.

Namun dia hanya mampu tersenyum. Senyuman tidak percaya. Tidak percaya dengan apa yang dia dengar, dengan apa yang terhidang depan matanya saat ini. Satu apa pun dia tak faham. Tiba-tiba... tiba-tiba, Tuah sebut tentang cerai? Janji dengan Yuna? Boyfriend? Dan Tuah halau dia?

"Karel... saya minta maaf. Yang ini sebenarnya adik saya. Abang salah faham je sebenarnya. Karel jangan ambil hati ya?"

Tuah terus beredar memasuki rumah meninggalkan dia dengan Yuna dan adik lelaki Yuna yang dia baru kenal malam ini.

Karel tarik nafas dalam dan dihembus keras. Kemudian dia ketawa pula. Sungguh dia tidak tahu mahu katakan apa, lakukan apa, dan beri reaksi apa. Semuanya sangat tiba-tiba.

"It's okay. I'm good." Ujarnya dengan sisa tawa. Langkahnya juga diatur terus ke kereta. Tiada gunanya lagi berada di situ.

/

"Karel?" Tubuh Ikli terus dipeluk erat. Seperti tidak mahu dilepaskan. Dadanya bagai mahu pecah. Entah apa yang terjadi. Entah apa yang merasuk Tuah. Entah!

"Karel... kenapa?" Tanya Ikli. Terkejut dia menerima kedatangan Karel pada waktu begini. Tidak pernah dibuat Karel berkunjung ke rumahnya lewat malam seperti ini. Dengan wajah Karel yang sugul... menambahkan tanda tanya dalam hatinya.

"Aku nak latte." Ujar Karel perlahan. Dia perlukan Ikli dan latte pada saat-saat begini. Ikli lepaskan pelukan Karel pada tubuhnya.

"Okay. Masuk dulu. Aku buatkan kau latte."
Karel duduk termenung di kerusi rotan rumah Ikli. Dari tadi otaknya hanya bertanyakan 'kenapa?' semata-mata. Salah faham apa yang Tuah sedang alami? Kenapa pula adik lelaki Yuna ada di situ?

"Kau okay tak ni?" Secawan latte panas diletak di atas meja. Karel senyum.

"I'm not okay. But it's okay. Boleh aku tidur sini malam ni?"

"Sure, Karel. Pernah ke aku tolak permintaan kau?"
Soalan Ikli dirasakan sangat memukul hatinya. Jawapannya, tidak. Ikli tidak pernah tolak permintaannya. Ikli itu, kawannya. Tetapi Tuah... suami dia. Sampai hati Tuah tolak dirinya begitu sahaja?

Saturday, 9 December 2017

KARAMEL LATTE - 1 (cerpen)

"Lee, Latte satu!" Punggung dihempas pada sofa empuk yang terletak di penjuru gerai Read & Drink. Novel di tangan mula diselak. Waktu masuk ke penjuru rehat ini tadi sempat tangannya mencapai novel itu. Main cekau mana yang sampai. Entah novel apalah yang ditariknya tadi.

"Tak kerja ke?" Ikli datang menghulur latte pesanan Karel. Dia turut melabuh punggung di hadapan Karel untuk lepaskan lelah bekerja dari pagi.

"Sleep day. Ni kau, sorang je ke? Mana lain?"

"Ada kat dapur tu." Jawab Ikli malas. Badannya terasa penat semacam hari ini. Dengan staf buat hal pagi tadi, makin penat dia rasa.

"Aku dengar Tuah nak kahwin lagi?"

"Ha'ah. Bulan depan. Nanti datanglah." Tumpuannya masih beku pada halaman novel.

"Buat kenduri ke?"

"Buat. Nanti aku bagi kad."

"Kahwin bini kedua pun nak buat kenduri? Gila."
Gelas latte diangkat dan disisip penuh nikmat. Latte, baginya boleh berikan tenang untuk jiwa yang dihambat gelora. Setiap titis latte melalui tekaknya mampu hapuskan satu titik kecil duka yang dia rasa.

"Kenduri kecil-kecilan je. Sekali dengan kenduri tahlil. Kalau tak buat kenduri nanti orang kata buat maksiat pulak."

"Okay sekarang ni jangan cakap yang bini kedua Tuah tu duduk sekali dekat rumah tu?"

"Yes." Karel angguk yakin dengan mulutnya menggumam "truth hurts" pada Ikli. Ikli geleng kepala, tidak percaya dengan apa yang didengar.

"Gosh. He must be crazy. Parents kau tak cakap apa-apa ke?"

Helaian muka surat novel diselak lagi. Sedang hakikatnya satu patah perkataan pun dari novel itu tidak melekat di mindanya. Macam mana pula mahu dia fokus pada novel yang sekadar dia ambil untuk elakkan Ikli lihat dia tidak keruan.

"Ibu suruh dia ceraikan aku tapi dia tak nak. Yelah, tak kan lah nak lepaskan the only penglipur lara dia ni." Ada nada seloroh di hujung katanya dan selorohan itu membuat Ikli menjeling tajam.

"Kalau kau tu his only penglipur lara, he would not kahwin lain tau!" Berang juga dia mendengar kata-kata Karel itu. Karel ada hak untuk pertahankan apa-apa haknya.

"Yang lagi sorang tu kilang buat anak. Aku buah hati Tuah." Karel ketawa sakan mendengar bicara sendiri.

"Tak kelakarlah, Karel. Perlu ke dia kahwin lagi? Aku tak faham betullah. Kau ada semuanya. Ada harta. Ada kerja. Bertanggungjawab. Rupa pun... hm not bad."

"Aku lawalah, siot!" Bantal kecil dilempar pada Ikli yang sudah sedia mengelak.

"Karel. Jangan pura-pura kau okay. I know you." Ikli kembali serius.

"Aku tak boleh pregnant. Apa aku nak buat, Ikli oi? Reda jelah. Enough, okay? Aku tak nak fikirkan sangat pasal ni. And aku datang sini sebab nak ajak kau tengok wayang. Jom?"

Ikli pandang lama wajah Karel. Jelas-jelas Karel palsukan senyum dan gelaknya saat ini. Knowing her, she will never show or express her sorrow. Karel baginya hampir sempurna. Dan kalau Ikli itu lelaki, dia sendiri akan kahwini Karel dan tidak mungkin Karel dia sakiti.

"Woi! Jomlah. Jangan menung-menung. Tak jadi princess pun."

/

"I hate him." Ikli menyilang kaki memerhati Tuah dan isteri barunya tersenyum bahagia melayan tetamu yang hadir.

"Aren't they cute?" Soal Karel sengaja menaikkan amarah Ikli. Karel ketawa kemudiannya melihat Ikli yang sudah makin membara wajahnya.

"Kau tak ada hati ke? Hei, tu laki kau tau? Tengok tu! Pegang-pegang tangan pulak."

"Memang dia laki aku. Tapi kau yang emosi ni kenapa?" Karel tergelak-gelak. Dia leka bermain kiub rubik di tangan. Dan itu, adalah salah satu cara untuk elakkan dia dari melihat kebahagiaan suaminya... dengan perempuan lain.

"Kalau dia laki aku, aku tikam lumat dia. Biar mampus."

"Lee, pinjam phone." Minta Karel tiba-tiba. Ikli lontar pandang pelik.

"Aku nak call polis." Karel gelak lagi. Cepat tangan Ikli menunjal kepala Karel. Main-main!

"Dah lah. Biarkan. Kan Tuah bahagia tu. Kalau dia tak bahagia tu satu hal pulak aku yang kena bahagiakan dia. Ni, tolong selesaikan. Aku lost." Kiub rubik dihulur tepat di muka Ikli, tidak mahu Ikli berterusan membebel padanya.

/

Awkward.

Karel pandang dia. Dia pandang Karel. Masing-masing dengan senyum kekok.

"Nak guna?" Tanya Karel untuk hentikan segala kejanggalan antara mereka. Yuna angguk perlahan.

"Awak iron baju abang ke?" Telunjuk Yuna menghala ke helaian kemeja dan seluar slack yang sudah kemas tergantung pada hanger. Karel pandang kemeja dan seluar yang dia gantung sebentar tadi.

"Ha'ah. Aku pun dah settle ni. Nak iron tudung ke..." soalan Karel terhenti apabila pandangannya turun ke pakaian yang berada dalam pegangan Yuna.

Bukan tudung. Bukan juga pakaian milik perempuan itu. Tetapi...

Kemeja. Seluar slack. Dan tie.

"Er... abang minta saya iron baju dia."
Menjeda Karel. Kemudian dia lempar senyum palsu pada Yuna yang teragak-agak.

"Haha... yelah. Okay." Karel berundur memberi ruang pada Yuna. Hanger yang bergantung kemeja dan seluar Tuah diambil.

"Tapi... awak dah iron..."

"Takpe, takpe. Ni boleh pakai lusa tulat. Aku keluar dulu. Ironlah." Cepat-cepat Karel melangkah keluar dari bilik gosok. Sebaik dia keluar, wajah Tuah menyapa pandangannya. Tuah tercegat memandang dia. Karel tergamam.

"Terima kasih tolong ironkan. I will wear this tomorrow." Belum sempat Tuah mahu ambil hanger, Karel pantas tarik hanger tersebut ke belakangnya dan kemeja serta seluar yang dia iron tadi direnyukkan.

"Dekat kemeja ni ada kotor sikit. Kena cuci balik ni. Yuna tengah iron baju abang."

"Karel..."

"Serious ada tompok kotor tadi. Karel tak tipu."

"Are you mad? Awak masih sayang abang, kan?"
Karel tunduk sekejap menanggap soalan Tuah. Tidak mungkin dia tidak sayang. Cuma dia takut... kalau-kalau Tuah yang sudah tidak sayangkan dia.

"Abang sentiasa sayang awak. Kalau nanti abang dah ada cucu cicit pun, abang tak akan abaikan awak. Awak yang pertama dalam hati abang." Tuah tarik tubuh Karel dalam pelukannya. Perlahan-lahan tangan Karel naik ingin membalas pelukan Tuah tapi...

"Yuna..." nama itu meniti di bibir Tuah seraya Tuah tolak lembut tubuhnya menjauh.

"Abang dah habis baca buku?" Soal Yuna mesra. Nampaknya Yuna tahu yang Tuah memang gemar membaca dan membaca itu adalah rutin Tuah setiap malam. Tidak mahu mendera rasanya, Karel membuka langkah meninggalkan Tuah dan Yuna.

Dari jauh dapat telinganya dengar ajakan itu...

"Jom tengok movie? I will show you my most favorite movie." Tuah.

Karel berhenti di balik gerbang dapur. Dadanya terasa senak. Ajakan itu, selalunya Tuah tujukan untuk dia. Bukan pada orang lain. Bukan pada Yuna.

/

Pagi itu setibanya Karel di wad, kelihatan banyak makanan tersedia di atas meja di hadapan kaunter wad. Rakan-rakan yang bekerja shift malam juga belum pulang. Masing-masing sedang berehat di ruangan itu sambil menjamu selera.

"Karel. Come." Kak Puspa menggamit Karel yang sedikit terpinga-pinga dengan situasi itu.

"That's a lot of food. Potluck ke?"

"Kak Puspa dah nak berhentilah. Farewell party." Sahut Waina sambil menyumbat croissant ke dalam mulut. Berhenti? Karel pandang Kak Puspa dengan kening terangkat sebelah.

"So sudden? Are you going to Arab?"

"Yes. Jangan rindu akak ye." Kak Puspa senyum.

"Tak bagitahu Karel pun? I have no present to give you."

"Tak penting punlah present ke, apa ke. Karel doakan akak pun dah cukup syukur dah. Ada nak kirim apa-apa dari Arab?"

"Ada! Nak Mat Arab sorang. Yang tall, berjambang, dan mata warna coklat." Harnani menyampuk membuatkan Waina julingkan mata ke atas. Meluat dengau.

"Engko pun sendu, ada hati nak Pak Arab tall, berjambang, mata coklat. Please."

Harnani lempar senyum geram pada Waina. Kuangajo!

"Orang kata... berangan biar sampai ke bintang. Kalau jatuh pun, tersangkut kat pokok." Matanya dijegilkan.

Waina mencebik. "Patient dalam bilik 304 tu lah kind of people yang tunggu kau jatuh tersangkut kat pokok. Alhamdulillah dah jumpa jodoh. So Kak Puspa tak payah cari Pak Arab yang tall, berjambang dan mata coklat." Galak Waina mengusik Harnani. Harnani masih blur. Patient bilik 304... apabila pesakit bilik 304 itu menyapa mindanya, Harnani tepuk paha Waina kuat.

"Wei! Tu pakcik yang bini ada empat orang tu!"

"Kuangajo lah dia ni..." Harnani menggumam geram.

"Kau bila lagi, Karel?" Tanya Waina lantaran malas hendak melayan Harnani yang kuat berangan.

"Tak kan aku nak tinggal laki aku kat sini sorang-so..."

Yuna. Yuna melintas dalam fikirannya. Dahulu dia mahu bekerja di Arab, tetapi dek memikirkan Tuah, dia lupakan cita-citanya. Sekarang... sekarang Tuah ada Yuna.

/

No!

Ya. Tuah tidak izinkan Karel pergi bekerja di Arab. Tuah kata, sama ada Karel terus bekerja di hospital itu atau berhenti kerja dan duduk sahaja di rumah. Kata dua Tuah berikan namun kedua-duanya tidaklah menepati kehendak Karel.

"What are you doing here?" Tuah peluk bahu Karel dari belakang. Pipi Karel dicium sekilas.

"Sanggup nak tinggalkan abang?" Soal Tuah perlahan. Karel alih wajahnya menjauh dari wajah Tuah. Hatinya juga sudah mula menjauh. Walaupun pernikahan Tuah dan Yuna itu dia tidak bantah, tapi tidak bermakna Karel setuju dengan perkahwinan mereka. Tuah tidak pernah minta keizinannya dan dia sendiri sedar bahawa keizinannya tidak memberi apa-apa erti pada Tuah.

"Abang dah ada pengganti saya..." Karel gumam kata-katanya. Hendak disimpan sahaja, hati meronta-ronta mahu Tuah tahu bahawa dia terluka. Hendak disuarakan lantang, tidak berani pula. Ditelan mati emak, diluah mati bapak.

"Apa?"

"Er... Karel nak cari pengalaman baru. Lagi pun ramai kawan-kawan Karel dah pergi Arab sana. Karel pun nak juga rasa jejak tanah Arab."

"Walaupun perlu berjauhan dengan abang?" Tanya Tuah berbisik. Anggukan laju dari Karel membuat Tuah melepaskan pelukannya. Dia ambil tempat di sebelah isterinya.

"No... abang tak boleh nak izinkan Karel jauh dari abang. Whatever the reason is. Karel kerja dekat hospital tu aje ye?"

"Taknak!"

Terangkat kening Tuah melihat Karel membentak. Kali pertama dalam perkahwinan mereka Karel begitu susah hendak mendengar kata-katanya.

"Alright." Sepatah. Mendengarkan itu, Karel jadi teruja. Betul ke abang izinkan?

"Kalau macam tu, berhenti je. Duduk rumah." Suara Tuah tegas.

"No! Taknak!"

Tuah hela nafas berat. "Karel kan isteri abang? Abang risau kalau awak jauh dari abang. Apa yang awak buat... apa yang awak makan... pukul berapa awak balik kerja... your safety there... everything about you matters so much to me. Walaupun sekarang abang ada Yuna. But you are my first love. Boleh awak ikut kata abang, hm?" Jemari Karel digenggam erat dalam genggamannya. Tangan itu diusap-usap lembut demi mahu memujuk hati yang berontak dalam diam.

"Fine." Keluh Karel, merajuk.

"Good. Abang tahu isteri abang dengar kata." Tangan Tuah yang mahu naik mengusap kepala isterinya ditolak Karel.

"Abang ketua keluarga, kan? Segala keputusan dekat tangan abang. Macam mana hidup Karel, kerja Karel. Segalanya." Karel senyum nipis seraya mengangkat punggung mahu beredar dari situ namun lengannya Tuah pegang.

"Tak apalah, bang. I am a wife. Apa yang Karel boleh buat selain dengar cakap suami Karel?" Pegangan Tuah dilepaskan dan dia berlalu tinggalkan Tuah keseorangan. Tak apa, dia ada Yuna mahu temankan.

/

Kerjanya makin tidak sempurna. Tiap hari ada sahaja yang kurang di mana-mana. Lupa bagi pesakit makan ubat, tekanan darah pesakit tidak diambil, dan lebih teruk lagi dia langsung tidak boleh fokus pada saat genting pesakit dizonkan merah. Sudah banyak kali juga sister marahkan dia. Dan sekarang ini, dia sedang memandu ke gerai Read & Drink. Memandangkan pesakit tidak ramai dan sister terus sahaja suruh dia cuti.
Balik rumah? Bukan tak mahu. Cuma dia rasa dia perlu luangkan masanya lebih dengan Ikli.
Gerai Read & Drink dimasuki. Ruang gerai hampir penuh. Ramai pulak orang hari ni. Mungkin sebab awal bulan. Karel ambil tempat di penjuru gerai, spot biasanya setiap kali berkunjung di situ. Dia sekadar melempar senyum pada Ikli tadi sebab Ikli nampak sibuk sangat pulak.

Wajah Tuah hadir dalam fikirannya. Terimbau semula bagaimana reaksi suaminya itu waktu keputusan medik menunjukkan yang Karel tidak boleh mengandung. Tuah-- sedih, kecewa, terkilan dan sebut sahaja apa-apa terma kesedihan. Tetapi Karel? Dia lebih lagi rasa kecewa. Kecewa dengan dirinya kerana tidak mampu jadi isteri yang sempurna untuk Tuah. Kecewa kerana bukan dia yang akan menjadi ibu kepada anak-anak Tuah. Lebih lagi... Yuna sudah berisi.

Ya. Cepat rezeki Yuna dan Tuah tiba. Dan itu membuatkan Karel lagi terkilan. Kenapa bukan dia yang merasai nikmat membawa nyawa dalam rahimnya dari benih Tuah? Kenapa dia tidak lagi yang Tuah belai tiap malam? Kenapa itu? Kenapa ini?

Sakit. Hatinya sakit. Tetapi dia tidak boleh buat apa kerana dia tetap seorang isteri yang kurang serba serbi.

"Latte." Ikli duduk.

"Dah habis kerja ke? Dengan uniform kau ni?"

"Sister suruh aku cuti sebab patient tak ramai. Lagi pun, aku tak boleh fokus sangat buat kerja. Nak balik rumah pun rasa tak best. Ni aku datang sini. Nak jumpa kau."

"Eleh. Dah semak otak baru nak datang jumpa aku. Ni apahal lagi? Tuah nak kahwin lagi sorang? Yuna pun tak boleh pregnant?" Tanya Ikli bertubi-tubi, sinis semuanya. Itulah Ikli yang sesebenar. Lepas mulut. Tetapi hati dia baik.

Karel gelak sebelum cicip Latte panas. Jelas sangat gelaknya dibuat-buat.

"Yuna mengandung." Beritahu Karel. Sedikit pun Ikli tidak terkejut. Dia sekadar menayang muka yang beraut "not bad". Untuk sejenak, suasana antara mereka bagaikan sunyi. Ikli tidak mahu komen apa-apa. Mengucapkan tahniah untuk pregnancy Yuna pada kawannya ini bukanlah pilihan yang baik. Malahan, untuk suruh Karel tetap terus kuat juga rasa seperti tidak patut. Dia sudah diduga hebat, tiada salahnya untuk Karel berperasaan begitu. Yang penting, Ikli percaya Karel akan pulih juga lambat atau cepat.

"Nanti... kau kahwin..." suara Karel pecahkan jeda antara mereka. Ikli fokus pada Karel biarpun memang dari tadi dia perhati sahaja raut celaru Karel.

"Cari lelaki yang boleh terima kurang lebih kau. Okay?"

"Kenapa pulak?" Sengaja dia bertanyakan begitu untuk mengetahui jawapan Karel.

"Aku tak nak kau rasa apa yang aku rasa." Jawabnya perlahan. Ikli angguk kecil.

"Karel."

"Hm?"

"Sakit?"

Karel tatap mata Ikli. Lama. Sebelum anggukkan kepala dengan senyuman tipis di bibir.

"Sangat."

"Aku tak tahu sampai bila aku boleh tahan." Sambungnya. Pandangan Ikli pada Karel hanyalah pandangan kasihan. Sungguh, kasihnya dia pada Karel sudah seperti kasihnya pada adik beradik dia. Melihat Karel begini, menyekat juga rasa bahagia dia.

"Latte tu free. Aku belanja." Ujar Ikli mahu menukar topik. Sebelum dia yang berendam air mata, lebih baik dia tukar cerita. Nanti habis Karel ketawakan dia pulak.

Karel ukir senyum lagi. Kali ini nampak lebih ikhlas.

"Hari-hari belanja aku boleh tak?"

"Ah takde! Bankrupt lah aku!"

Akhirnya kedua-dua mereka ketawa dengan gurauan sendiri.

/

"Karel kerja dua shift ke hari ni?" Sebaik dia jejak kaki dalam rumah, soalan itu yang menyapanya. Dari Tuah yang tadinya membaca surat khabar namun sekarang ini surat khabar telah diletak tepi dan Tuah menanti jawapannya.

Pukul 11.27 malam. Itu masa yang dia jeling pada dashboard sebelum keluar kereta tadi.

"Tak cakap dekat abang pun kerja double shift?" Tuah menyoal lagi apabila Karel hanya berdiri tegak membisu.

Sepatutnya pukul 11 pagi tadi dia sudah sampai rumah dek Sister halau dia bercuti. Tapi dia betul-betul luangkan masa dengan Ikli tadi. Tidak ke mana pun, temankan Ikli di tempat kerja kemudian singgah di rumah Ikli. Makan-makan, borak-borak, baring-guling-- tak sedar hari sudah terlajak malam. Selalunya kalau dia kerja double shift iaitu shift pagi dan petang, memang waktu beginilah dia pulang.

"Lain kali kalau nak double shift bagitahu abang dulu, okay? Awak dah makan ke belum? Lauk ada lagi tu. Kalau nak makan abang boleh temankan."
Ajakan Tuah sedikit memeranjatkan Karel. Dia ingatkan Tuah hendak marah dia kerana tidak memaklumkan padanya tentang double shift... tak, Tuah tak boleh tahu dia sebenarnya sekadar melepak dengan Ikli sepanjang hari.

"Karel? Awak okay ke tak ni? Penat sangat? Patients ramai ke tadi?" Tuah menghampiri.

"Aa... Karel okay. Tu lah... penat sikit." Belakang tengkuk digaru dengan telunjuk. Jarang-jarang dia menipu Tuah. Lain pula rasanya ni.

"Karel nak tidur je. Karel naik dulu eh?" Tergesa-gesa Karel berlari memanjat tangga ke tingkat atas. Tuah tidak terkata apa. Kenapa pelik sangat bininya hari ni?

"Abang." Bahunya terasa disentuh. Saat dia toleh, wajah Yuna yang sembab menyapa matanya.

"Karel dah balik?"

"Dah. Dia dah naik dah. Penat sangat kot tu." Jawab Tuah biarpun dia sendiri sangsi dengan jawapannya. Yuna angguk sahaja. Dari petang tadi suaminya menunggu Karel pulang. Tidak sangka yang Karel akan pulang sebegini lewat. Patut ke dia bagitahu apa yang dia tahu...?

"Er... abang..."

"Ya, sayang."

"Senja tadi Yasir ada whatsapp Yuna." Ujarnya seayat. Berkira-kira lagi untuk beritahu Tuah.

"Ya? Dia cakap apa?" Tuah leka dengan telefon pintarnya.

"Yasir... Yasir kata..." Yuna tergagap-gagap. Tuah angkat muka.

"Kata apa, Yuna?"

"Dia nampak Karel dekat satu kafe. Dalam pukul enam petang tadi."

Tuah diam. Menanti sambungan kata-kata Yuna.

"Dia perhati Karel. Lama jugak Karel duduk dekat kafe tu."

"Kafe mana?"

"Gerai Read & Drink." Yuna mula rasa serba salah. Wajah Tuah sudah berubah. Lantas tangan Tuah digenggam erat.

"Yuna... bukan nak abang marah Karel... cuma Yuna nak abang tahu yang Karel bukannya buat double shift tapi..." tidak habis Yuna memujuk, Tuah bingkas bangun merentap tangannya dari genggaman Yuna. Bilik Karel dituju laju.

"... tapi mesti ada sebab Karel buat macam tu! Abang!" Yuna cuba mengejar langkah Tuah tapi kepalanya kembali terasa pening. Badannya juga menjadi lemah semula dek perut yang memboyot.

/

Tubuh yang dibaluti comforter tebal diperhati lama. Apa sebenarnya yang ada dalam hati isterinya yang satu ini? Kenapa Karel tipu? Karel banyak berubah. Bukan dia tidak perasan. Semakin diam. Kerap elakkan diri darinya. Makan pun jarang semeja. Berkurung dalam bilik. Semua dia perasan. Betapa Karel mahu elakkan diri dari bertembung dengannya, isterinya itu sanggup bangun tidur awal pagi untuk mengemas rumah, sediakan sarapan dan masuk semula ke bilik. Jika harinya bekerja, sejam awal sudah Karel keluar rumah. Padahal hospital dan rumahnya hanya sejengkal. Dan jika harinya bercuti, terperuk sahajalah dalam biliknya.

Tuah perasan segalanya. Tapi... adakah salah dia kerana berkahwin dengan Yuna demi menambahbaik kehidupannya?? Tak bolehlah dia mahu kehidupan yang lebih sempurna? Sejujurnya, selepas ada Yuna dalam hidupnya, Tuah rasakan lebih bahagia. Lebih lengkap dengan adanya denyutan jantung dalam rahim Yuna.
Perlahan katil saiz queen itu dipanjat. Tidak pasti Karel sudah lena atau sengaja berpura-pura lena.

"Karel..." bahu Karel disentuh lembut. Ada dehaman berbunyi dari mulut Karel menyahut panggilan Tuah.

"Awak dari mana?" Tuah duduk bersila di atas katil. Karel takzim.

"Jujur dengan abang, awak ke mana tadi? Awak bukan double shift, kan?" Tanya Tuah lagi. Mahu Karel betul-betul jujur dengannya.

"Karel... double shift..." masih berselindung. Tuah hela nafas geram. Dia menunggu Karel dari petang tadi sampai ke tengah malam dengan hati yang gundah segala, rupa-rupanya Karel bukan di hospital. Tetapi di tempat lain! Sungguh dia kecewa. Dan sekarang, Karel masih tidak mahu berterus terang.

Karel bangun dari baring, dan duduk di sebelah Tuah.

"Abang tak nak marah, Karel. Please be honest. Where were you?" Sebalik 'tak nak marah' Tuah, suaranya makin tegas juga di pendengaran Karel.

"Karel... Karel..."

Diam. Tuah urut pelipisnya. Gelengan di kepala jelas di mata Karel.

"You have changed so much. Isteri abang tak pernah tipu abang sebelum ni. Apa jadi dengan Karel ni? Cuba cakap Karel pergi mana tadi? Abang dekat rumah risau tunggu Karel, Karel tahu ke tak?"

"Kalau risau, kenapa tak call?"

Suasana jeda seketika. Tuah terpana dengan soalan Karel. Kali ini, giliran Karel menanti jawapan Tuah. Kepalanya menoleh memandang wajah suaminya.

"Abang risau di mulut aje? Abang tak risau di hati kan?" Karel senyum nipis. Tangannya naik memegang dada sang suami.

"Sebab dekat hati abang bukan tempat Karel lagi." Tangannya turun bermain pula dengan jari sendiri. Kepalanya tekur memandang cadar.

"Awak benci Yuna ke?"

"Tak."

"Jadi? What is so wrong abang kahwin dengan dia? I want to be happier. I want to be a daddy too."

Karel toleh pandang Tuah semula. "Karel benci diri Karel. Karel tak cukup baik untuk abang. Sampai abang kena kahwin lain. Betapa kurangnya Karel dalam hidup abang, sampai abang kena cari seorang isteri yang lebih sempurna untuk abang."

"Karel... we can be a happy family. Awak, abang, Yuna..."

Kata-katanya terhenti. Terdengar bunyi seperti orang muntah. Tuah mula tidak senang duduk. Hatinya melonjak mahu melihat keadaan Yuna, tetapi perbincangannya dengan Karel belum tamat.

"Pergilah tengok. Kita dah habis bincang." Karel baring, tarik comforter kaler biru laut menutup penuh tubuhnya. Sejurus itu, terus terasa katil bergoyang menandakan Tuah sudah turun dari katil. Kedengaran pintu dibuka dan ditutup keras.

Mata Karel kali ini tidak mampu lagi berkompromi memendam air mata. Terluah juga. Entah kenapa, kepergian Tuah itu dirasakan seperti dia telah kehilangan Tuah untuk selamanya.

/

"Ni. Kalau awak pakai ni mesti awak cantik sangat. Sumpah abang tak cari lain!" Tuah angkat tangan kanannya tegak membuatkan Karel ketawa senang. Dress labuh berwarna coklat pastel diambil dari tangan Tuah. Tubuh Tuah dirapati.

"Betul ni tak cari lain?" Karel tayang muka tidak percaya.

"Betullah. Awak cukup sempurna untuk abang. Dan, hati abang ni tak muat nak letak orang lain dah. Sebab awak gemuk." Seloroh Tuah lalu Karel tumbuk dadanya kuat.

"Aduh! Sakit, sayang."

"Karel gemuk ke?" Karel tarik muka masam. Ada ke cakap dia gemuk? Mana ada!

"Tak adalah. Cinta abang untuk Karel je yang gemuk gebu." Karel ketawa bahagia mendengar kata-kata manis Tuah. Betullah orang kata, terlebih manis itu tidak bagus.

"Ehem!"

Karel tergamam apabila seorang lelaki duduk di hadapannya dengan segunung nasi dan lauk campur. Juga segelas air kosong suam. Habis terbang segala ingatannya pada kenangan lalu bersama Tuah.

"Saya Yasir." Yasir memperkenalkan dirinya apabila melihat kerutan teruk di kening Karel, aka isteri kepada abang iparnya. Yasir tadah tangan baca doa makan. Khusyuk. Usai membaca doa, lengan kemejanya disinsing hingga ke siku. Karel masih memandang dia pelik. Mungkin sedang persoalkan kenapa dia duduk di situ dan bukan di meja lain sedangkan kafe hospital itu begitu lengang.

"Karel kan?" Soalnya sebelum sesuap nasi masuk ke dalam mulutnya. Sengaja dia berbasa basi. Namun Karel kaku tidak memberi jawapan mahupun sebarang reaksi. Hanya matanya ligat scan Yasir yang berselera menikmati makanan.

Sekeping kecil daging salai disuap masuk ke dalam mulut lagi. "Hm, sedap. Nak try?" Lalu sekeping lagi daging salai disua ke arah Karel. Baru Karel hendak buka mulut mahu bertanya siapakah Yasir itu sebenarnya, bahunya ditepuk kasar dari belakang.

Karel menoleh, sedikit terkejut dengan tepukan di bahunya. Wajah Tuah yang membahang kemerahan menyapa mata.

"Kau buat apa kat sini, Yasir?" Soal Tuah kepada Yasir tetapi matanya tidak berganjak dari wajah Karel. Patutlah makin berubah... desisnya dalam hati, sinis.

Tuah... kenal Yasir? Karel tertanya-tanya. Siapa Yasir ni?

"Aku jenguk kawan tadi. Lepas tu singgah makan kejap, tak sangka jumpa bini kau, bang. Kak Yuna mana?" Yasir betul-betul selamba sedangkan Tuah bagaikan mahu meletup saat itu. Lebih membuatnya geram apabila Karel langsung tidak menunjukkan rasa bersalah terkantoi dengannya.

"Tengah check up. Jom balik, Karel." Lengan Karel ditarik kasar memaksa Karel bangun. Hendak tak hendak, Karel turutkan saja tingkah Tuah biarpun dia tidak memahami apa-apa. Mahu melawan juga seperti tidak berani kerana lain benar sisi Tuah yang ini.

/

Mereka duduk di ruang menunggu sementara Yuna masih di dalam bilik rawatan. Tuah dari tadi rasa panas punggung. Dia marah!

"Give me your phone." Tuah tadah tangan tepat di hadapan Karel. Karel kerut kening.

"Nak buat apa?" Soal Karel perlahan. Telefon pintarnya masih aman di dalam handbag.

"Just give me." Tiap perkataannya ditekankan supaya Karel tahu yang dia sedang serius. Karel keluarkan telefon pintarnya dan dihulur pada Tuah. Sebaik telefon itu sampai di tangan Tuah, habis segala pelosok maklumat dalam telefon itu diselongkar. Contact name, whatsapp, message, instagram dan sebagainya. Tiada yang mencurigakan. Tuah tidak puas hati. Galeri gambar dibuka. Ada beberapa gambar selfie seorang lelaki. Bukan Yasir.

"Siapa ni?" Tuah buka gambar itu dan ditunjuk pada Karel. Karel yang dari tadi memerhati sekeliling tergamam sedikit apabila telefon pintarnya Tuah halakan pada wajahnya.

"Siapa tu, Karel?!" Telefon pintar isterinya dilempar kuat ke lantai. Meluncur jauh telefon itu. Berkecai, memang pasti. Ternganga Karel melihat Tuah hari itu. Apa yang tak kena ni?! Itu gambar boyfriend Ikli yang dihantar padanya menerusi whatsapp semalam! Ikli mahu tunjukkan boyfriendnya pada Karel. Itu sahaja.

Karel mahu menjawab membela diri namun tersekat saat Tuah cengkam kuat dagunya. Wajah Karel ditarik menghadap dia.

"You disappoint me." Dagu Karel dilepas kasar. Berpaling wajah itu.

"Bang... kenapa ni?" Yuna. Karel segera menunduk. Tidak mahu Yuna lihat wajahnya yang sugul. Malu mahu tunjuk sudut lemah diri sendiri pada madu yang telah berjaya membuat suaminya menduakan dia.

"Karel? Karel dah habis kerja ke?" Soalnya pada Karel lantaran soalannya pada Tuah tergantung sepi.

"Awak dah settle belum?" Tanya Tuah dingin.

"Em, dah." Jawab Yuna teragak-agak. Sebaik dia menjawab, Tuah bangkit dan pantas berjalan keluar hospital. Yuna terkebil-kebil. Karel yang menunduk dari tadi pun bangun. Namun gayanya mahu menuju ke arah lain.

"Hmm... Karel? Karel dah habis kerja kan? Jomlah balik sekali." Langkah Karel terhenti.

"Baliklah dulu." Ujar Karel lalu teruskan langkahnya ke arah telefon pintarnya yang berkecai. Kepingan telefonnya dikutip setiap satu. Telefon itu, seperti hatinya. Sudah berkecai, cuma bezanya tiada yang sudi mengutip.

/

Hari Ahad. Bermakna sudah tiga hari berlalu kejadian di hospital itu dan tiga hari jugalah Tuah tidak bercakap dengannya. Memandang pun tidak. Keadaan hatinya? Usah dipersoal-lah. Entah-entah sudah lumat tanpa dia sedar. Dan kebetulan pula dia cuti hari itu. Mungkin dia perlu lakukan sesuatu untuk memujuk Tuah.
Pagi itu, tidak seperti selalu, selepas solat Subuh dia terus ke dapur untuk sediakan makanan. Rasanya, cukup-cukuplah dia elakkan diri dari Tuah. Hinggakan perkahwinannya sudah renggang begini... semua ini salah dia. Dia yang buat perangai. Tak apa, dia akan perbetulkan keadaan.

Nasi lemak sudah terhidang siap atas meja. Pintu bilik tidur Tuah dan Yuna dipandang dari bawah. Jam di dinding dijeling. Sudah pukul 8.30 pagi. Takkan tak bangun lagi? Karel duduk di meja makan. Sabar menanti Tuah dan Yuna turun untuk mereka makan semeja buat kali pertama.
Sejam sudah berlalu. Nasib baiklah Karel leka menconteng doodle dalam buku contengannya. Nasi lemak sudah kian mendingin. Pintu bilik Tuah dan Yuna masih terkatup.

Dengan teragak-agak, Karel naik menuju bilik tidur suaminya dengan Yuna. Pintu diketuk perlahan.

"Abang... jom breakfast. Karel dah masak dah."
Senyap tiada jawapan. Karel ketuk lagi pintu. Tetap senyap. Perlahan-lahan tombol pintu yang tidak berkunci dipusing. Pintu terbuka. Dan yang terhidang di hadapan matanya hanyalah bilik yang kosong tanpa penghuni.

Kemudian, telinganya terdengar bunyi kenderaan masuk ke dalam garaj.

"Assalamualaikum." Yuna beri salam perlahan sahaja, sekadar beradab memasuki rumah. Mungkin tidak menduga Karel ada di rumah hari ini. Laju Karel keluar dari bilik tidur Tuah dan Yuna. Tidak mahu ada salah faham pula nanti mengatakan dia menceroboh privasi mereka atau apa-apa.

"Waalaikumsalam." Karel jawab salam. Yuna mendongak memandang tingkat atas rumah. Tercegat Karel di situ. Wajah Yuna bertukar keruh. Hidungnya menghidu bau nasi lemak.

"Karel masak ke?" Soalnya. Karel menuruni tangga dengan senyuman paksa.

"Ha'ah. Aku dah masak. Jomlah makan." Karel terus menuju ke dapur. Dia tidak mahu tanya dari mana Yuna dan Tuah kerana jelas di jinjingan Yuna sebuah bag lutsinar yang berisi telekung. Dan dek pintu utama yang terbuka luas itu, Karel nampak Tuah baru keluar kereta dengan Baju Melayu bersama kain pelikat. Ke mana lagi? Kalau bukan dari Subuh berjemaah di surau taman perumahan mereka itu.

Itu, rutin dia dan Tuah suatu waktu dahulu. Hatinya runtun mengetahui rutinnya itu sudah diambil alih oleh Yuna.

"Saya dan abang... dah breakfast dekat luar tadi. Kami tak tahu yang Karel cuti hari ni. Kalau tak... boleh keluar jemaah sekali." Yuna serba salah toleh pandang Tuah yang baru jejak kaki ke dalam rumah. Pintu utama ditutup. Tuah berwajah selamba.

"Oh... tak apalah. Yang ni simpan untuk tengah hari nantilah." Terus Karel tutup hidangan nasi lemak yang sudah sejuk dengan tudung saji.
"Sayang, nanti kita lunch luar okay. Abang teringin nak makan nasi ayam penyet pulak." Tuah usap perutnya. Yuna senyum manis melihat suaminya yang memang sejak dua menjak ini sangat manja.

"Okay." Jawab Yuna tanpa terfikirkan apa-apa. Mereka kemudiannya beriringan ke ruang tamu. Televisyen dinyalakan. Entah rancangan apa yang mereka tonton, Karel tidak tahu.

Nasi lemak yang tidak bersentuh dipandang sepi. Memang rasanya tidak akan disentuh nasi lemaknya ini. Dia pun... tiada selera mahu menjamah apa-apa. Lantas tangannya laju mengambil tupperware untuk membungkus nasi lemak yang dimasak tadi.

Satu tupperware besar, satu tupperware kecil. Yang besar akan dia hantar ke hospital. Pasti rakan-rakannya belum bersarapan. Seperti biasa. Dia juga kalau kerja shift pagi, tidak sempat hendak bersarapan pun. Dan yang tupperware kecil, akan dia hantar pada Ikli.