PAGI ITU SAFIA AWAL DARI BIASA. Hari itu, dia penuh dengan keazaman; tidak mahu mengambil peduli apa yang budak-budak lelaki mengata di belakangnya. Dan, dia juga tidak mahu ambil hati dengan apa yang Jiha katakan semalam.
Setibanya di kelas, dia mengeluarkan senarai nama kelas dan sampul surat yang berisi duit kelas. Operasi mengutip yuran kelas mingguan dan duit yang Teacher Kesuma minta akan dijalankan.
“Duit kelas.” Dua perkataan yang satu kelas sudah faham. Begitulah cara Safia meminta duit. Tidak mesra.
Safia berjalan dari meja ke meja untuk mengutip duit kelas. Sama ada dia akan menerima duit, atau cuma gelengan kepala tanpa wajahnya dipandang.
“Duit kelas.” Seru Safia. Kali ini di tempat Zarif; lelaki yang paling ketara tidak menyenangi dirinya. Zarif menggelengkan kepala tanpa memandang Safia.
“Kau tiga minggu lepas pun tak bayar lagi. So total up semua RM4. Esok tolong bayar eh. Thanks.” Safia memberitahu dengan tangannya mencatat sesuatu pada senarai nama. Baru Safia hendak melangkah...
“Kau ingat kau bagus sangat ke?” Suara Zarif. Perlahan, namun cukup jelas untuk didengari oleh Safia. ‘Cakap dengan aku ke?’ bisik Safia. Dia berpaling memandang Zarif. Lelaki itu masih tekun pada bukunya.
“Apa?” Soal Safia. Dia tidak begitu memahami dengan apa yang Zarif cakap tadi.
“Mintak elok-elok boleh, kan? Kau biadap sangat apasal?!” Zarif meradang tiba-tiba. Rakan kelas terdiam. Suasana kelas yang hingar bingar tadi menjadi sunyi. Safia tergamam. Terkedu.
“Kau tu bendahari je! KULI! Kau faham tak yang kau tu kuli? Tak payah berlagaklah, kau tak hebat pun.” wajah Zarif benar-benar sedang marah. Walaupun kulitnya gelap, namun boleh nampak wajahnya merona.
Safia tetap kaku. ‘Kenapa?’ Masih menyoal sendiri. Dia bingung.
“Hei kau ni...!” Zarif melangkah mendekat seraya tangannya diangkat ingin menampar Safia. Safia tidak bergerak kerana terlalu terkejut melihat Zarif yang tiba-tiba mampir dan...
Pang!
Safia kaget. Zarif juga. Tetapi dia puas.
Pipinya pijar. Mata Safia mencari wajah Nur dan Jiha. Buat masa sekarang, itu sahaja kekuatannya. Dia tidak hirau apa rakan kelas yang lain bicarakan hingga kelas mula hingar bingar semula.
“Eh bro! Bro! Apa ni? Jangan ikut marah sangat.” Ulil datang menghampiri mereka.
“Puas hati aku! Aku memang menyampah dengan kau. Kau tahu tak?!” jerit Zarif lagi.
“Kau pergi duduk, Pia.” Arah Ulil. Safia yang baru tersedar pantas mengatur langkah ke mejanya, mendekati Nur dan Jiha. Wajah ditangkup ke meja. Tangan kanannya menyentuh pipi kanan yang masih terasa panas. Dia terkejut. Dan malu. ‘Kenapa?’ soal hatinya lagi. Perlahan, air matanya mengalir. Nur mengusap lembut belakang Safia.
P&P belum pun bermula dan dia sudah nampak perjalanan harinya untuk hari ini.
* * *
Safia melihat jam tangannya di tepi bantal. Jam 4.30 pagi. Dia masih tidak mampu melelapkan mata. Kejadian semalam ditengking dan ditampar oleh Zarif betul-betul meninggalkan kesan di hatinya. Dia rasa sangat lemah kerana tidak mengelak mahupun melawan Zarif semalam. Rasa sangat terhina kerana sewenang-wenangnya dilempang tanpa punca yang kukuh di hadapan ramai orang. Dia malu. Fikirannya kusut memikirkan apa penyebabnya Zarif begitu meradang semalam. Salahkah dia? Dia sekadar meminta yuran kelas.
Safia tidak mahu mengadu kepada cikgu disiplin. Nanti cikgu call mak abah. Dia tidak mahu mak abah risaukan keadaannya di sekolah.
Dengkuran Nur di sebelah membuatkan Safia menoleh memandangnya. Terbayang lagi reaksi Nur semalam. Saat rakan kelas perempuan mula mengerumuni Safia bertanyakan “okay tak?” “Zarif tu kenapa doh?”, Nur hanya diam dengan tangan mengusap belakang Safia. Dia tahu Nur serba salah mahu masuk campur kerana Nur lebih rapat dengan Zarif berbanding dengan dirinya.
Safia melepaskan keluh berat.
“Kau tak tidur?” Nur.
“Uish! Terkejut aku. Kau ni, Nur.” Safia mengurut dada. Mahunya tak terkejut. Dahlah dorm gelap, Nur pula tegur secara tiba-tiba.
“Kenapa tak tidur? Pukul berapa dah ni. Nanti nak bangun susah.” Nur mula membebel. Safia senyum tipis.
“Aku terjaga. Mimpi buruk tadi. Okaylah, aku nak tidur balik.”
Safia mengiring membelakangi Nur. Namun matanya tetap tidak mampu lena. Bahkan jua hanya untuk dilelapkan.
DALAM KELAS Safia hanya diam. Dia tidak mengutip duit kelas hari itu. Perhatiannya juga tidak tertumpu pada pembelajaran. Kadang apabila cikgu memandangnya, dia buat-buat menulis sesuatu di atas buku. Rakan kelas perempuan yang lain bertubi-tubi bertanyakan keadaannya dan punca Zarif menamparnya semalam. Safia sekadar geleng dan angguk sebagai jawapan. Nur dan Jiha? Merekakan kawan baik Zarif. Mereka tidak berkutik.
* * *
Petang itu, selepas habis prep petang, Safia duduk di dalam kelas. Yang lain sudah balik ke asrama dan bersiap sedia untuk sesi riadah petang. Dia mahu bersendiri untuk melayan perasaannya. Sepanjang P&P tadi, sedikit pun dia tidak menoleh memandang Zarif. Dia benci dengan lelaki yang membuatkan dia malu dan sakit. Bibir kanan yang sedikit pecah akibat tamparan semalam dia sentuh. Rasa sayu menerpa lagi ke dalam hatinya.
Bunyi derap kaki mematikan lamunan Safia. Safia tunduk. Siapa pun gerangan empunya bunyi tapak kaki itu, dia tidak mahu tahu. Dia tidak bersedia untuk berhadapan dengan sesiapa.
“4 ringgit. Duit Zarif.” Kamil. Ya, Kamil yang berdiri di hadapannya menghulurkan not satu ringgit empat helai. Perlahan-lahan Safia mengambil dan selitkan duit di celah salah satu buku yang berada di atas mejanya.
“Aku ada benda nak cakap.” Usul Kamil. Kerusi ditarik berhadapan dengan Safia.
“Aku tak tahu kau cakap apa dekat Zarif semalam. Tapi, he has never been like that before. Setahu aku dia seorang yang penyabar. Semalam, dia betul-betul tengah marah. Aku tertanya-tanyalah kau cakap apa dekat dia, eh? Oh tak apa. Tak perlu cakap. Aku risau aku pun bengang nanti. Hm. Aku nak pesan. Lain kali, mulut tu jangan cakap ikut suka je. Tak semua orang boleh terima apa yang kau cakap.” Bagai peluru Kamil bersuara. Semua butir bicaranya menyalahkan Safia.
Bibir Safia bergetar.
“Aku mintak duit macam biasa je semalam.” Safia cuba membela diri.
“Jangan mintak macam biasa. Tolong mintak dengan adab. So that, lepas ni tak adalah yang naik kaki pulak dekat kau.” Nada Kamil menyindir.
“Aku... Aku tak tahu mana salah aku yang...” belum sempat Safia menghabiskan ayatnya, Kamil memotong.
“Dahlah, Pia. Aku rasa aku dah habis cakap.” Kamil diam sebentar.
“Oh belum habis lagi. Satu lagi, aku rasa kau perlu tahu rahsia yang budak lelaki kelas kita pegang selama ni. Sebenarnya, ramai yang tak suka kau.” Kamil bangun dari duduk, berura untuk pergi.
“Aku pun antaranya.” sambung Kamil setelah liurnya ditelan dan terus berlalu.
Luluh.
Lemah.
Kecil hati.
Safia menangis. Air mata tidak mampu lagi ditahan. Salah dia apa? Wajah ditangkup ke meja. Tiba-tiba dia terdengar dehaman seseorang. Dengan pantas Safia mengelap air matanya dan mengangkat wajah.
Ulil.
“Kau... Kau... Dengar ke?” Soal Safia tersangkut-sangkut. Kalaulah Ulil dengar, pasti memalukan!
Ulil senyap.
Senyap yang Ulil bicarakan menjawab persoalan Safia.
“Kau pun... Benci aku?” Safia menyoal lagi. Dia mengharapkan Ulil menggeleng. Cukup sekadar menggeleng. Kerana selama ini Ulil nampak tiada masalah dengannya.
“Tak payah hirau orang nak cakap apa. Baliklah. Dah nak senja.” pesannya, sebelum pergi.
Niat untuk mengambil buku teks Fizik yang tertinggal mati.
- sambung -
No comments:
Post a Comment