"Kenapa usu pulak yang cakapkan untuk dia? Dia dah tak ada mulut nak cakap sendiri dengan mama? Dah tak tau macam mana nak cakap dengan mama?" Suara mama lantang memecah suasana. Usu kecut perut. Mama jarang bercakap dengannya sebegini. Tetapi kalau dengan along, memang inilah gayanya percakapan mama.
"Bu... bukan, ma. Usu cuma nak tolong along. Along pun sibuk kerja, jadi usu wakilkan along je." Usu jeling acik di sebelah mengharapkan acik boleh menyelit perbualannya dengan mama. Kalau bab membantah kata-kata mama, hanya acik yang berani.
"Apalah sangat sibuknya kerja macam tu." Rungut mama sendiri sambil tangannya lincah melipat longgokan baju.
"Mama tak ada anak yang buat kerja kotor!" Sambung mama lagi meluahkan rasa dalam hati. Biarpun itulah yang dia luah hari-hari, cuma dia tidak pernah puas lagi.
"Ma... janganlah macam tu. Along penat kerja nak tanggung kita semua. Kalau dengar dek along, kecik hati dia."
"Acik! Acik jangan nak sakitkan hati mama, eh! Kecik hati dia tu boleh ubatkan ke luka dalam hati mama ni? Kecik hati dia tu boleh ke hidupkan angah dan alang balik?" Terus tangan mama berhenti dari melipat baju. Suaranya yang keras tadi kini meninggi satu oktaf. Mama bangun dan meninggalkan acik dan usu di ruang tamu. Hilang moodnya untuk melipat baju apabila acik seperti biasa hanya menyebelahi along, anak yang paling dia harap-- bukan lahir dari rahimnya.
Acik lepaskan keluh, perlahan. Entah sampai bila mama hendak menyimpan dendam terhadap along, anak mama sendiri. Kematian angah dan alang bukannya berpunca dari along pun. Qada' dan qadar Allah, siapa yang boleh duga? Ajal dan maut, semuanya rahsia. Kebetulan sahaja pada hari itu, along berkeras mahu angah dan acik untuk temankan dia ke kedai cetak untuk menempah kad kahwin. Sudah takdir, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka disamun dan angah dan alang ditetak sampai mati. Itu pun sudah bertahun-tahun lamanya berlalu namun mama masih belum boleh terima kenyataan.
"Assalamualaikum." Suara along kedengaran memberi salam. Usu tengok jam di dinding. Jarum pendek sudah mencapai jam 11.45 malam. Waktu biasa along balik. Cuma kadang-kadang ada harinya sampai lewat ke pukul 3 pagi pun along belum balik. Biasalah, kerja di kelab malam. Apa yang disangkakan?
"Waalaikumsalam. Penat?" Usu berbasa-basi padahal ketara wajah along yang memaparkan kepenatan.
"Penat sikit. Mama mana?"
"Mama mana?" Soalan lazim along tanya jika sepulangnya dia, tiada wajah mama yang menyapa mata.
"Dah masuk bilik. Tidur dah." Acik menipu. Tak mungkinlah dia mahu beritahu along yang dia dan mama baru habis berperang mulut dan topik peperangannya adalah along sendiri?
Sebaik acik jawab pertanyaan along, mama muncul di muka pintu bilik. Bukan pintu bilik mama, tetapi mama muncul dari bilik tidur along. Di tangan mama ada satu beg baju sederhana besar berisi baju along.
"Kau nak berambus sangat?" Sergah mama tiba-tiba. Segala ketegangan terkumpul di wajah mama. Langsung tiada riak belas untuk along.
"Ambik baju kau ni. Berambus!" Beg baju tadi dilempar tepat di depan along. Along tergamam. Automatik bibirnya mengoyak senyum-- senyum kedu.
Nampaknya acik dan usu dah beritahu mama yang dia berancang untuk berpindah ke Melaka. Itu pun baru dalam perancangan, bergantung juga pada keputusan bosnya. Along gelak sinis dalam hati, patutnya dia perlu lebih bersedia sebelum balik tadi.
"Tunggu apa lagi? Pergi!" Jerit mama.
"Kenapa, ma?" Soal along perlahan. Bibirnya bergetar menahan tangis.
"Kau nak berambus dari rumah ni kan? Kau dah tak suka tengok muka aku, kan? Keluar! Aku pun taknak tengok kau lagi dalam rumah aku ni. Keluar!"
"Mama, apa ni? Malu kalau jiran-jiran dengar." Tidak betah acik duduk sahaja menghadap gadgetnya dan berpura-pura seperti tiada apa yang berlaku. Biarpun jelaslah jiran-jiran dah faham dengan masalah keluarga mereka, tetapi masih... malulah malam-malam terjerit sakan. Apatah lagi pandangan jiran-jiran terhadap along bukanlah pandangan hormat.
Along melangkah mendekati mama. Jeritan amarah wanita tua itu sepertinya tidak terkesan di hati sedangkan hatinya bagai sudah hancur melumat. Segenap wajah itu dipandang sayu. Dahulu sepasang mata mama itu adalah mata yang memandangnya dengan penuh kasih. Sekarang, mata itu hanya memancarkan kebencian terhadapnya.
Tangan mama dicapai lalu dikucup sekilas apabila mama tarik laju tangannya dari genggaman along.
"Tak payah nak tunjuk baik salam aku. Bukannya kau dapat ambik hati aku balik." Ujar mama kasar. Along senyum tawar.
"Esok along balik ye, ma. Along minta maaf untuk salah silap along kat mama."
"Banyak sangat dosa kau kat aku. Tak termaaf."
Pedih, bohong kalau dikatakan along tidak terasa. Telah kata hatinya sedang menghancur!
"Along minta maaf." Tubuh mama cuba juga dipeluk tapi mama tolak ganas tubuh along. Jijik dia mahu memeluk seorang pembunuh dan seorang pelacur.
Along bergerak ke pintu utama. Beg tangan yang tadi diletakkan atas sofa diambil semula. Beg baju yang terdampar di lantai tidak dihiraukan.
"Along... tak payahlah pergi. Kan penat baru balik kerja. Pergi rehat." Acik tarik tangan along untuk masuk ke dalam rumah semula.
"Tak apa. Esok along balik. Bagi mama cool down dulu. Along duduk dekat 7e tu je."
☆
Itu bukannya kali pertama dia dihalau keluar dari rumah. Sudah berkali-kali sejak kematian angah dan alang dahulu. Tetapi dek mengenangkan dia tiada tempat untuk berlindung di luar sana, jadi dia tebalkan sahaja muka pulang semula ke rumah mama. Lagi pula mama, acik dan usu masih tanggungjawab dia.
Dia masih ingat hari itu. Lagi tiga bulan akan berlangsungnya majlis pernikahan dia dengan Fahmi. Tiga bulan itu baginya sangat singkat. Lebih lagi persiapannya nampak seperti lambat bergerak. Dengan kad kahwin masih belum ditempah. Untuk dijadikan cerita, minggu itu adalah cuti pertengahan semester angah dan alang. Jadi untuk tidak lebih melengahkan masa, dia desak angah dan alang untuk temaninya tempah kad kahwin.
Malang tidak berbau, bukan? Dalam perjalanan pulang, kereta yang dipandu along ditahan seorang lelaki yang berlumuran darah. Along cemas, terus memberhentikan kereta untuk membantu lelaki itu. Sebaik kereta diberhentikan, sekumpulan lelaki bertopeng keluar dari semak hutan menyamun mereka bertiga. Along lihat bagaimana angah dan alang ditetak dan mereka berdua menggelupur kesakitan sebelum kaku tidak bernyawa. Along lihat bagaimana adik kembarnya menanggung sakit dicabut nyawa dari jasad. Along ingat sampai hari ini. Malahan tidak pernah dia lupa walau sesaat. Dan hakikatnya hatinya sakit apabila mengenangkan peristiwa hitam itu. Lebih membuatkannya sakit saat teringatkan dialah puncanya angah dan alang pergi selamanya. Cuba sahaja along tidak berhentikan kereta, mungkin angah dan alang sekarang ini sudah tamat belajar dan mendapat kerja yang bagus-bagus.
Along pejam matanya rapat. Andai sahaja dia tidak berhentikan kereta hari itu, pasti mama masih menyayangi seperti dahulu. Ada air mata mengalir di pipinya.
☆
"Tak faham bahasa orang dah tak suka. Aku suruh kau berambus! Kenapa kau balik semula?! Aku ni menyampah sangat dengan kau sampai nak tengok muka kau pun rasa tak lalu. Loya!" Selincah tangan mama menggembur tanah, selincah itu juga lidahnya melontarkan kata-kata benci sebaik melihat kereta along memasuki perkarangan rumah.
Bunyi pintu kereta dibuka dan ditutup semula meyakinkan mama yang along sekarang ini sedang berjalan menuju ke arahnya. Mama dah faham perangai along yang satu ini. Jenis tak faham bahasa.
"Ma... along balik." Along dekati mama. Tangan mama yang memegang peralatan berkebun itu cuba dipegang untuk disalami namun jelingan mama sahaja sudah meruntuhkan segala keberaniannya.
"Jangan pegang aku. Dah banyak kali aku cakap. Aku jijik. Kau pembunuh" Suara mama dingin. Memang betul, dia jijik. Setiap kali tangan itu mahu memegangnya, setiap kali itu juga dia terbayangkan tangan along itu yang menikam bunuh anak kembarnya.
Along tarik nafas dalam. Dia akur mama mahu katakan dia perempuan kotor hanya kerana dia bekerja sebagai pelayan di kelab malam. Dia akur bila tiap kali mama tidak dapat tahan amarah, mama halau dia keluar dari rumah. Dia akur mama membencinya kerana diri dia. Tetapi hatinya meruntun apabila mama tuduh dia sebagai pembunuh sedangkan dia sendiri menderita dek kekesalan salahnya sendiri? Dia bukan pembunuh!
Air mata yang hampir menitis di juring mata dikesat lembut. Tuhan... sampai bila?
"Sampai bila, ma?" Soal along perlahan, memuntahkan persoalan yang mengganggu dia belakangan ini. Dengan posisi yang sama, mencangkung seperti saat dia mahu menyalami mama.
"Sampai kau mati, Farhani." Jawab mama yakin. Tiada sedikit pun goyah dalam nadanya. Yakin sungguh seksaannya untuk anak itu tidak akan berakhir hingga ke hujung nafasnya.
Dan along tidak mungkin salah dengar jawapan mama. Begitu sekali mama menghakimi dia. Sumpah kalau boleh dia undurkan masa, dia tidak akan berhentikan kereta untuk menolong lelaki yang berdarah dahulu. Bahkan tidak akan dia bersungguh-sungguh mengajak angah dan alang mengikutnya. Biar mama luangkan masa sepuasnya dengan adik-adiknya yang dia sayangi. Along minta maaf... along tak ada niat... dan sekarang ini, akibatnya dia yang perlu menanggung. Bencinya mama pada dia hingga dia mati?
"Sungguh. Sampai kau mati." Ulang mama semula. Seolah tahu apa yang bermain dalam minda along.
"Kalau..." bicaranya sengaja dihentikan. Hendak memancing perhatian mama sepenuhnya pada dia. Dan seperti harapannya, mama toleh sekilas memandang anak yang lahir dari rahimnya itu. Wajah along kusut masai. Dengan mata sembab. Ah! Peduli apa? Luluh hatinya tiada siapa pun yang mengerti. Bentak mama ego sedangkan hatinya terusik sekelumit melihat keadaan along sebegitu.
"Kalau along mati... mama maafkan along?" Along habiskan soalannya. Rumput kecil-kecil dicabut-cabut. Celaru minda, celaru hati.
Perbuatan mama terhenti. Sekali lagi pandangannya tertoleh pada along. Cumanya kali ini dia tatap betul wajah yang dia benci sekian lama.
"Kau nak mati sangat ke?" Soalan along mama balas dengan soalan. Sedangkan dalam hati mama bukan itu yang mahu dia soalkan. Semangat along jatuh merudum. Kenapa mama tanyakan dia begitu? Mama betul tidak mahukan dia lagi?
Mata mama, along pandang. Dia selongkar mata mama dalam-dalam. Tiada kegusaran langsung. Tiada kasih lagi yang dapat dia lihat untuknya. Mendengarkan soalan mama tadi... nampaknya mama betul-betul nekad hendak singkirkan dia. Tetapi kalau syaratnya kematian dia boleh buat mama beri ampun untuk dia...
Lantas, along ukir senyum tipis. Tangan kanan mama ditarik paksa lalu dicium lama. Mula-mula mama cuba tarik tangannya semula namun sentuhan bibir lembut along di belakang tangannya beri dia satu perasaan halus.
Mama renung belakang kepala along yang menunduk mencium tangannya lama. Entah kenapa, kebencian dia pada anak ini makin bertambah dari sehari ke sehari. Dia kehilangan dua anak kembarnya. Kerana perempuan ini! Hati ibu mana yang tidak kesal? Angah dan alang lain. Acik dan usu lain. Apatah lagi along... langsung tidak tercatat dalam carta hatinya. Sudahlah tu memalukan dia pula dengan bekerja di kelab malam. Keluar maghrib, pulang lewat malam. Jiran-jiran sibuk mencanang mengatakan along perempuan kotor. Perempuan kotor... pembunuh!
Mama tarik tangannya kasar. Tidak suka dicium oleh along. Laju tangannya dikibas ke baju.
Sedikit tersentak along yang dihanyut perasaan untuk seketika. Jika tadi apabila mama relakan dia salam dan cium tangan mama, dia bagaikan rasa mama boleh terima dia semula.
Ya tuhan... Farhani, apa yang kau harapkan? Soalnya mengejek diri sendiri. Segalanya nyata. Kemaafan mama hanya ada untuknya jika dia mati.
"Maafkan along, ya ma?"
Sesaat.
Dua saat.
Tiga saat.
Tiada kata-kata penolakan dari mama seperti selalu. Sejuk sedikit hati along. Namun langkahnya dibawa jua masuk ke dalam rumah. Biliknya dimasuki lalu dikunci dari dalam. Punggung dihenyakkan di atas katil. Merenung semula kehidupannya. Kosong. Walang sewalangnya. Mindanya kembali memikirkan apa yang difikirkan tadi. Kalau tadi di hadapan mama mampu juga dia paksa koyak senyum tipis biarpun tidak berperisa. Tetapi kali ini... di dalam bilik ini... merenung kehidupannya... membuat dia rasa betul-betul bersendiri.
Air matanya jatuh juga akhirnya dan along bangun menuju almari membuat persiapan sepatutnya.
☆
Pukul enam petang, usu pulang dari sekolah. Hari Rabu kan, biasalah ada sesi kokurikulum. Usu pulang dengan baju tshirt Kadet Remaja Sekolah tersarung di tubuhnya. Masuk sahaja dia dalam rumah, wajah acik sudah melepet di atas sofa di hadapan televisyen. Dengan kemeja kerjanya. Mama seperti biasa petang-petang begini mesti sedang menyiapkan minum petang untuk seisi rumah.
Oh! Along...
"Mana along, cik?" Usu cabut tshirt dari tubuhnya. Rasa panas menyengit membuatkan dia rasa tidak selesa.
"Dalam biliklah kot. Tengah siap nak pergi kerja agaknya." Jawab acik malas. Dia pun penat gila hari ini. Bos buat perangai pula dengannya tadi. Mahu ditengking, dia kuli. Rela tidak rela, dia hadap juga perangai tak semenggah itu walau tak berkenan dek hati.
"Pergilah panggil minum petang. Sebelum dia gi kerja tu." Arah acik pada usu. Usu menjeling geram. Dia baru balik sekolah. Penat-penat. Kenapa dia yang kena panggil along minum petang? Sistem tidak adil ini tidak seharusnya ada. Adik dibuli, abang bersenang hati. Bedebah!
Namun usu angkat juga punggung beratnya ke bilik along. Tombol pintu dipulas sedikit. Tidak berkunci. Lantas dibuka luas pintu bilik along dan dia kaku...
Apa?
Kenapa?
Along!
"Acik! Mama!" Jerit usu cemas. Pantas tubuh along yang terapung dipeluk. Hanya hujung kaki along mampu dia pegang dan peluk. Tubuh along ditampung semampunya. Mengharapkan masih ada harapan. Namun sejuk beku di hujung jemari kaki along...
Usu meraung kuat. Allah! Along aku!
Acik tampil di muka pintu. Kedu bermaharajalela. Along...
"Mama..." seru acik perlahan pada mama yang baru muncul dari dapur. Mama juga seperti acik, tidak bermaya.
Yang terhidang di hadapan matanya adalah along yang tergantung di kipas. Tidak bernyawa. Tubuh acik terasa longlai hingga jatuh dia terjelepok ke atas lantai.
"Tolonglah aku, cik. Bawak along turun. Along hidup lagi!" Gesa usu terdesak. Dia sangat berharap alongnya masih ada.
"Along... apa along buat ni... usu kan sayang along..." rintih usu lemah.
Mama melangkah lemah masuk ke dalam bilik along. Perasaannya kosong. Perlahan-lahan mama bantu usu turunkan tubuh along yang sejuk membeku. Terkial-kial mereka berdua tampung tubuh along lalu dibaringkan di atas katil. Usu menerpa tubuh along rakus. Segala rintihannya tidak dapat mama dengari. Dunianya bagaikan terhenti di situ.
"Sampai kau mati, Farhani. Sungguh, sampai kau mati."
Terngiang semula ikrarnya pagi tadi.
"Ma..." suara acik kembalikan mama ke alam sebenar. Acik hulurkan mama sehelai kepingan kecil nota. Hanya tiga perkataan yang tercoret di situ.
'Mama dah janji'
Badan mama longlai melorot ke lantai. Hati mama palau. Tuhan, anak aku! Segala ego yang dicambah dari bertahun-tahun lalu kini bagaikan berterbang menghilang. Cebisan kecil nota itu dibaca berulang kali.
Sayang, mama tak maksudkan apa-apa!
☆
Tali telah diikat kemas di keliling kipas siling. Cuma yang tinggal adalah dia sahaja untuk laksanakan, lengkapkan upacara. Debar di dadanya usah dibincangkan, bagai mahu pecah sebelum ajal. Iman di jiwanya usah dipersoal, itu antara dia dan Tuhan semata. Kebodohannya tidak perlu dicanang, kerana semua tahu dia insan yang dangkal dari dahulu lagi.
Dia perempuan kotor. Mencari rezeki yang entah meyakinkan atau tidak maktubnya halal atau haram rezeki yang dijana. Dia dipersalahkan pula tentang kematian kedua-dua adik kembarnya. Dan saat mama seolah beri dia pilihan... jika mahu diampunkan, maka dia perlu mati... sedikit sebanyak kembang kuncup juga hatinya. Akhirnya, paling tidak mama sudi juga mahu maafkan segala salah silapnya.
Maka, pilihan apa lagi yang dia ada?
"Kiranya ini pilihan yang diberi, aku sanggup korbankan segalanya. Untuk apa aku hidup dibelengu bayangan dosa sedangkan aku diberi peluang yang lebih lumayan? Kemaafan dari mama, memang hanya itu yang aku harapkan. Saat mama berikan aku kata dua, aku akur. Mungkin kemaafan itu akan menjadi milik aku tatkala aku tiada lagi. Aku reda, tempat aku bukan di sini." -along-